GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerugian bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) naik kepada RM226.90 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2021 daripada RM91.07 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, perolehan melonjak 18.8 peratus kepada RM323.42 juta daripada RM272.18 juta sebelum ini disebabkan jumlah pergerakan penumpang yang lebih tinggi di Turki walaupun operasi lapangan terbang di negara itu ditutup sepenuhnya pada bulan April dan Mei pada tahun 2020.

MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perolehan menerusi operasinya di Malaysia susut 43.3 peratus kepada RM125.8 juta.

Sebaliknya, perolehan daripada operasi di Turki naik kepada RM176.3 juta daripada RM35.1 juta pada suku kedua pada suku kedua 2021, manakala operasinya di Qatar melonjak kepada RM21.3 juta daripada RM15.5 juta.

Bagi separuh pertama tahun 2021, MAHB mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM447.39 juta daripada kerugian bersih RM111.45 juta pada separuh pertama 2020, manakala perolehan merosot 45.2 peratus kepada RM660.23 juta daripada RM1.21 bilion sebelumnya.

MAHB berkata, prestasi itu seiring dengan kemerosotan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 55.4 peratus susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan dan sekatan perjalanan bagi perjalanan rentas negeri dan sekatan perjalanan antarabangsa.

Perolehan daripada operasi lapangan terbang turun 49.2 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2021 kepada RM567.3 juta, manakala segmen aeronautik berkurangan 46.0 peratus tahun ke tahun kepada RM295.9 juta ekoran daripada kemerosotan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 55.4 peratus.

MAHB berkata, perolehan daripada operasi bukan lapangan terbang meningkat sedikit sebanyak 3.8 peratus atau RM3.4 juta disebabkan oleh pendapatan yang lebih tinggi menerusi pertanian hasil daripada harga buah tandan segar (FFB) lebih tinggi dan perniagaan melalui penyelenggaraan pembaikan dan projek yang lebih tinggi.

"Secara keseluruhan, operasi di Malaysia mencatatkan penurunan dalam perolehan sebanyak 67,2 peratus kepada RM289.2 juta namun operasi di Turki dan Qatar masing-masing merekodkan peningkatan dalam pendapatan sebanyak 14.6 peratus kepada RM328.5 juta dan 13.6 peratus kepada RM42.6 juta," katanya.

Syarikat itu berkata, rangkaian lapangan terbang MAHB mencatatkan sebanyak 12.0 juta pergerakan penumpang pada separuh pertama tahun ini, merosot 55.4 peratus berbanding tempoh sebelumnya.

"Dalam tempoh yang sama, jumlah trafik kumpulan untuk penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing berkurangan 72.9 peratus dan 41.7 peratus.

"Selain itu, pergerakan pesawat MAHB turun 41.7 peratus dengan pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik masing-masing jatuh 51.0 peratus dan 36.4 peratus," katanya.

MAHB berkata, tahun 2021 akan terus terkesan oleh pandemik COVID-19 dengan beberapa sekatan perjalanan dilaksanakan untuk mencegah penularan virus sera usaha mempertingkatkan kadar vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok.

Jumlah pemberian dos vaksin harian yang tinggi di Malaysia baru-baru ini telah menghasilkan keyakinan untuk sektor trafik peringkat domestik bergerak aktif semula, katanya.

Di negara-negara lain, ada beberapa petanda awal wujud pengaturan trafik yang terkawal, membenarkan pengembara melakukan perjalanan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan termasuk menjalani ujian kesihatan digital dan ujian sebelum berlepas atau sebelum ketibaan, kata MAHB.

Melangkah ke hadapan, MAHB berkata ia akan terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan dengan melaksanakan pelan pengoptimuman kos.

"Langkah-langkah ini termasuk mengatur semula kecekapan operasi seperti kos dan perbelanjaan modal untuk mengawal simpanan tunai dan memastikan bahawa kumpulan itu dapat memenuhi kewajiban kewangan dan operasinya.

"Pada 30 Jun, 2021, MAHB telah mencapai sebanyak 13 peratus dalam perbelanjaan operasi teras berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MAHB berkata aset milik penuhnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG), mencatatkan jumlah pergerakan trafik penumpang sebanyak 53 peratus dan purata faktor muatan sebanyak 70 peratus pada separuh pertama 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata ISG merupakan penyumbang utama kepada pemulihan kumpulan berikutan pemulihan trafik di Turki adalah lebih kukuh berbanding operasi di Malaysia.

"Bagi ISG, pergerakan penumpang meningkat sebanyak 17.6 peratus pada separuh pertama 2021 berbanding separuh pertama 2020 manakala ia merosot sebanyak 84.6 peratus untuk operasi di Malaysia dalam tempoh sama.

"Bagaimanapun, kedua-dua negara mencapai kadar vaksinasi yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 5:38 PM