Idham
Idham

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad (Celcom) bekerjasama dengan beberapa rakan teknologi dalam ekosistemnya bagi menawarkan perisian dan penyelesaian inovatif yang mampu dimiliki oleh usahawan dalam memastikan kemampanan perniagaannya.

Celcom bersama-sama Microsoft Malaysia, Moduleight Technologies Sdn Bhd, Payroll Panda Sdn Bhd, Zimperium dan Vigilant Asia (M) Sdn Bhd amat memahami cabaran dari segi kewangan yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh mencabar ini.

Untuk membantu mereka menghadapi pandemik, Celcom akan mengecualikan caj langganan selama tiga bulan pertama untuk melanggan Celcom Business Suiteā„¢, iaitu kit digital inovatif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan tawaran dibuka sehingga 22 Oktober depan.

Selain itu, PKS akan menikmati penjimatan 30 peratus selama setahun melalui Geran Padanan Digitalisasi Perniagaan PKS yang diperkenalkan kerajaan melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana).

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, Celcom akan terus berdiri bersama dalam memastikan kemampanan perniagaan tempatan melalui penggunaan penyelesaian digital.

"Transformasi digital hari ini adalah faktor penting dalam keutuhan perniagaan. Celcom bersama rakan kami ingin menggalakkan perniagaan walaupun sekecil PKS mikro untuk menggunakan alat dan penyelesaian digital terbaik.

"Kami mengambil peduli akan impak pandemik kepada perniagaan dan mengecualikan caj selama tiga bulan pertama bagi langganan kit digital yang inovatif daripada kami dan berharap ia dapat membantu mereka meringankan beban kewangan dan dalam masa yang sama dapat meneruskan perjalanan transformasi digital mereka," katanya.

Menurutnya, bersama Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis) dan Planet Mahir, Celcom berkongsi kepakarannya dalam adaptasi digital melalui pelbagai program termasuk webinar dan saluran penstriman atas talian.

"Program sebegini disasarkan untuk membantu PKS dan usahawan mikro dengan mewujudkan kesedaran teknologi, perkongsian ilmu, dan program kemahiran digital.

"Celcom turut bekerjasama dengan Facebook Malaysia dalam menganjurkan webinar bagi PKS dalam ekosistemnya untuk mempertingkat kebolehan mereka dalam e-dagang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 7:00 AM