KEKURANGAN aktiviti atau permintaan daripada sektor perniagaan kecil dan sederhana menyebabkan peniaga beralih kepada membuat recovery keuntungan kepada sektor pengguna.
KEKURANGAN aktiviti atau permintaan daripada sektor perniagaan kecil dan sederhana menyebabkan peniaga beralih kepada membuat recovery keuntungan kepada sektor pengguna.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

 

MALAYSIA tidak terkecuali berdepan kenaikan harga barang ketika ini berikutan pandemik Covid-19, malah ia tidak dapat dielak kerana turut berlaku di seluruh dunia.

  Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata,  kelemahan mata wang dan kebergantungan negara terhadap barangan import sama ada barang mentah dan makanan menambahkan lagi kesan inflasi dan kenaikan harga.

Katanya, situasi kenaikan harga barang terutama di kawasan luar bandar adalah realiti sebenar kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada ekonomi negara.

  "Kenaikan kos pengangkutan dan logistik dijadikan sebab utama kenaikan harga.

  "Tidak dinafikan kos bahan api seperti diesel tidak berubah pada kadar RM2.15 pada harga yang ditetapkan kerajaan, kerana ini kos utama kepada pergerakan kargo darat di Malaysia.

  "Namun harga barangan yang bersangkutan seperti tayar dan alat ganti mungkin menyebabkan kos pengangkutan meningkat.

  "Kenaikan ini dialihkan kepada pengguna secara langsung," katanya.

  Beliau mengulas mengenai kenaikan harga barang di luar bandar mengatasi kadar inflasi di bandar dan nasional untuk tempoh dua bulan berturut-turut bermula April lalu berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

  Menerusi Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia - Siri 7/2021 oleh DOSM yang diterbitkan baru-baru ini menjelaskan, inflasi Malaysia berada di bawah paras sifar pada Mac 2020 sehingga Januari 2021 berikutan kesan pandemik Covid-19.

  Inflasi di bandar sentiasa melebihi inflasi di luar bandar kecuali pada April dan Mei 2021, apabila inflasi luar bandar mula mengatasi inflasi di bandar.

  Dr Aimi Zulhazmi berkata, kekurangan aktiviti atau permintaan daripada sektor perniagaan kecil dan sederhana, menyebabkan peniaga beralih kepada membuat recovery keuntungan kepada sektor pengguna, ini juga antara sebab kenaikan harga.

  Menurutnya, pengeluar dan pembekal barang pengguna terpaksa mengalih tumpuan pasaran daripada peniaga kepada pengguna secara langsung.

  "Kos produksi lebih tinggi disebabkan pematuhan SOP dan juga pengeluaran yang tidak boleh lagi ke tahap optimum kerana kawalan jumlah tenaga kerja ataupun gangguan dari jangkitan Covid-19 kepada pekerja, turut memeningkan kepala pembekal untuk mencapai breakeven.

  "Kenaikan harga bahan mentah di peringkat global seperti besi turut mempengaruhi kos pengeluaran. Selain itu, nilai ringgit Malaysia (RM) yang lemah pada RM4.22 berbanding AS$1 turut memberikan kesan berganda kepada barang diimport dari luar negara, terutama bahan makanan seperti beras, bawang dan cili.

  "Dianggarkan Malaysia mengimpot barangan makanan tidak kurang dari RM60 bilion setahun.

  "Tambah lagi kos pengangkutan dari luar negara pengimport turut meningkat kesan pandemik Covid-19 seperti  India dan Indonesia," katanya.

  Sementara itu, dari segi pengilang, untuk menangani kenaikan kos pengeluaran dan operasinya, harus difahami sekiranya 60 peratus sahaja pekerja dibenarkan beroperasi setiap hari, majikan masih perlu membayar gaji kepada semua pekerja dan juga caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

  "Sudah pasti dengan hanya 60 peratus tenaga kerja, pengeluaran lebih rendah dan memberikan kesan kewangan kepada pengilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:20 AM