PEKERJA kilang melakukan kerja dengan mematuhi SOP sepanjang tempoh pelaksanaan PPN sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 ketika lawatan media ke Kilang Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, semalam. FOTO BERNAMA
PEKERJA kilang melakukan kerja dengan mematuhi SOP sepanjang tempoh pelaksanaan PPN sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19 ketika lawatan media ke Kilang Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, semalam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Shah Alam: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, pengeluar roti Gardenia di Malaysia mengeluarkan garis panduan tambahan sebagai langkah tambahan dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.

Pengurus Kanan Sistem Pengurusan dan Jawatankuasa Institusi Hubungan Halal Gardenia, Azmy Roslin berkata, usaha itu bagi memastikan rantaian bekalan produk makanannya berjalan lancar dan dapat memenuhi permintaan rakyat.

"Antara langkah tambahan yang dibuat adalah mengeluarkan garis panduan tambahan iaitu Garis Panduan Menyeluruh Untuk Covid-19 dan Pelan Tindak Balas Kecemasan Pasukan Tindak Balas Kesediaan Krisis Covid-19 serta melakukan audit pematuhan SOP di setiap jabatan setiap hari.

"Kita juga mengambil langkah tambahan dengan mengasingkan para pekerja di bahagian pengeluaran iaitu 65 peratus pekerja asing dan semua tinggal di asrama syarikat," katanya kepada media selepas lawatan di kilang berkenaan, semalam.

Lawatan di kilang Gardenia itu dikelolakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sebagai salah satu kilang contoh yang mematuhi SOP sepanjang pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Azmy dalam pada itu berkata, pekerja akan diasingkan sewaktu makan di kantin dan tempat tinggal mereka mengikut barisan pengeluaran masing-masing bagi mengawal penularan sekiranya terjadi sebarang jangkitan.

Menurutnya, pihaknya juga membuat pengumuman dan hebahan menggunakan poster dalam empat bahasa (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Urdu dan Nepali) untuk menasihatkan semua pekerja patuh pada arahan dan SOP setiap masa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 9:42 AM