AZLIN
AZLIN
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Astro secara rasmi melancarkan Ultra Plug & Play Box, yang menawarkan pengalaman kandungan antarabangsa dan tempatan yang lancar tanpa piring satelit.

Pengarah Komersial Astro, Azlin Arshad berkata, penawaran pertama seumpama itu membolehkan pelanggan memasang sendiri dan menikmati ciri-ciri Ultra Box yang merangkumi Cloud Recording serta Play from Start dengan menyambung kotak itu kepada televisyen dan internet.

Pelanggan boleh memasang sendiri kotak itu mengikut keselesaan mereka melalui langkah mudah dalam video panduan pemasangan yang datang bersama-sama dengan kotak berkenaan.

"Kotak pemasangan sendiri Ultra Plug & Play dilancarkan pada masa yang amat genting iaitu ketika negara melalui perintah sekatan pergerakan yang mana, pelanggan mungkin mahu mengehadkan lawatan pemasangan di rumah.

"Kotak ini tidak memerlukan piring satelit kerana kandungan Astro akan disiarkan melalui rangkaian jalur lebar," katanya dalam satu kenyataan.

Azlin berkata, kotak baharu dan kad SIM Astro berkaitan akan dikirim kepada pelanggan, setiap komponen akan dibungkus dengan panduan lengkap yang mudah bagi pemasangan dan pengaktifan perkhidmatan berkenaan.

"Sebelum ini, kami menjalankan percubaan di pasaran dan 87 peratus pelanggan kami berpuas hati dengan proses pemasangan sendiri Ultra Plug & Play Box kerana mereka dapat memasang peralatan itu dengan mudah," katanya.

Katanya, perkhidmatan itu akan menghapuskan masalah gangguan siaran ketika hujan kerana ia disambungkan ke internet dan bukan satelit.

"Pengaktifan kotak berkenaan adalah percuma untuk pelanggan sedia ada dengan langganan bulanan berharga lebih RM100 manakala pelanggan yang mempunyai langganan bulanan di bawah RM100 akan dikenakan bayaran RM49.

"Bagi pelanggan baharu, caj pengaktifan akan dikenakan sebanyak RM39 untuk langganan melebihi RM100 dan RM59 akan dikenakan bagi langganan di bawah RM100," katanya.

Menurut Azlin, Astro akan melancarkan Ultra Plug & Play Box ke bandar besar dalam tempoh 12 bulan akan datang sebelum berkembang ke Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 9:36 AM