TNB berminat bekerjasama dengan sektor swasta yang ingin beralih kepada mobiliti elektrik.
TNB berminat bekerjasama dengan sektor swasta yang ingin beralih kepada mobiliti elektrik.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) berminat untuk bekerjasama dengan sektor swasta yang ingin beralih kepada mobiliti elektrik dan pada masa yang sama meningkatkan pembabitan dengan pelbagai kementerian bagi menyemai rancangan mobiliti rendah karbon Malaysia.

Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin berkata, gergasi utiliti itu bersedia untuk menerajui peralihan berkenaan, bukan sahaja sebagai penyedia infrastruktur tetapi juga bagi memacu kolaboratif dengan gabungan pihak berkepentingan dalam merealisasikan langkah penting ke arah penyahkarbonan.

"Adalah penting untuk Malaysia mula memandang serius peralihan ke mobiliti rendah karbon, terutama kenderaan elektrik bateri (BEV).

"Kenderaan elektrik, terutama BEV mempunyai pelepasan karbon sifar dan dengan itu, penggunaan lebih banyak BEV di jalan raya Malaysia bagi menggantikan kenderaan enjin pembakaran dalaman akan menyumbang ke arah pengurangan pelepasan gas rumah hijau di negara ini," katanya dalam ucaptama pada seminar web Penglibatan Meja Bulat Sektor Tenaga," kelmarin.

TNB melihat beberapa halangan utama yang menyekat penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia seperti kekurangan infrastruktur mengecas EV awam.

"Sebagai penyedia tenaga elektrik, TNB didatangi oleh peneraju industri berhubung infrastruktur pengecasan EV," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 11:37 AM