KILANG pemasangan kenderaan UMWT di Bukit Raja, Klang.
KILANG pemasangan kenderaan UMWT di Bukit Raja, Klang.

Kuala Lumpur: UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan langkah untuk menggerakkan inisiatif pengecualian karbon menerusi usaha pengeluaran kenderaan hibrid elektrik (HEV) di peringkat tempatan.

Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama berkata, sejajar hasratnya untuk mempelopori usaha berkenaan di Malaysia, UMWT akan membuat pelaburan tambahan sebanyak RM270 juta di negara ini bagi memperluas operasi serta kemudahan pengeluaran sedia ada.

"Pelaburan tambahan itu menyusuli pelaburan RM2 bilion sebelum ini yang meliputi pembinaan serta pengoperasian kilang baharu di Bukit Raja.

"Jumlah (pelaburan tambahan) itu termasuk pengenalan generasi kenderaan teknologi termaju bagi HEV," katanya.

Menurutnya, pengeluaran secara besar-besaran dan penerimaan yang semakin ketara terhadap HEV akan turut menggalakkan perubahan keseluruhan ekosistem automotif bagi memupuk kesedaran bersama bagi mengurangkan jejak karbon di Malaysia.

"Kami bersedia (dengan pengenalan barisan kenderaan HEV) dan teknologi berkaitan, sokongan servis, prasarana semasa, dasar global dan domestik, tahap mampu milik dan keberkesanan kos, kesedaran dan permintaan pelanggan terutama di Malaysia kini di tahap paling ideal untuk membolehkan kami meneruskan perjalanan baharu bagi mencapai pengecualian karbon ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 9:40 AM