Muhyiddin.
Muhyiddin.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suntikan pelaburan langsung asing (FDI) yang besar dalam Sunway Healthcare Holdings Sdn Bhd, unit Sunway Bhd membuktikan keyakinan terhadap konglomerat dan juga ekonomi Malaysia selain mencerminkan rekod prestasi cemerlang sektor penjagaan kesihatan negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata susulan penularan pandemik Covid-19 dan kesan buruknya ke atas hidup dan kehidupan manusia di seluruh dunia, kepentingan pelaburan dalam penjagaan kesihatan tidak boleh dipandang remeh.

"Saya gembira bahawa dana pelaburan Singapura, GIC Ventures Pte Ltd, melabur sebanyak RM750 juta bagi membeli 16 peratus kepentingan dalam bahagian penjagaan kesihatan konglomerat utama Malaysia, Sunway Group," katanya dalam ucapan yang telah dirakam terlebih dahulu bagi majlis permeteraian pelaburan antara Sunway Bhd dan GIC (Ventures) itu, hari ini.

Greenwood Capital Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, unit milik penuh GIC (Ventures), akan menyuntik pelaburan sebanyak RM750 juta ke dalam Sunway Healthcare menerusi pembelian 16 peratus pegangan itu dengan hasil akan digunakan bagi pengembangan hospital sedia ada dan tujuan modal kerja.

Muhyiddin berkata, pada 2019, era sebelum pandemik, negara menarik 1.3 juta pelancong penjagaan kesihatan antarabangsa dengan perolehan hospital sebanyak RM1.7 bilion.

Kebanyakan pengembara penjagaan kesihatan negara datang dari Indonesia, China, India, Bangladesh, Jepun, United Kingdom, Filipina, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat.

"Disokong oleh perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta negara yang bertaraf dunia dan infrastruktur yang canggih, Malaysia turut disenaraikan di kedudukan pertama Penjagaan Kesihatan Terbaik dalam Kategori Dunia dalam indeks 2019 International Living Annual Global Retirement Index, mengatasi negara seperti Perancis dan Thailand.

"Semua ini menjadikan Malaysia mengalu-alukan dengan tangan terbuka pelaburan domestik dan juga asing dalam sektor penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata kemudahan penjagaan kesihatan swasta negara yang mantap itu disokong oleh barisan doktor berpengalaman dan diiktiraf peringkat antarabangsa serta kakitangan perubatan terlatih yang membantu menjadikan Malaysia satu daripada destinasi pelancongan perubatan di rantau ini.

Menurut Fitch Solutions Macro Research, pasaran penjagaan kesihatan Malaysia dijangka berkembang sebanyak 127 peratus kepada RM127.9 billon pada 2027 daripada RM56.3 bilion pada 2017.

Pelaburan terbaharu oleh Singapura itu menunjukkan bahawa Malaysia kekal menarik kepada pelabur meskipun landskap ekonomi mencabar akibat daripada pandemik.

Pusat Perubatan Sunway.
Pusat Perubatan Sunway.

Terdahulu, Pengasas Sunway Group Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling berkata, hasil yang diterima itu akan digunakan untuk perbelanjaan modal untuk pengembangan hospital sedia ada dan untuk tujuan modal kerja yang meliputi perbelanjaan operasi dan pentadbiran harian daripada kumpulan Sunway Healthcare yang dicadangkan.

"Pelaburan yang dicadangkan itu akan membolehkan Sunway Healthcare mempercepat rancangan pengembangannya dan mengurus secara berhati-hati profil risiko kewangan daripada cadangan Sunway Healthcare Group dan Sunway Group.

"Selain itu, pelaburan yang dicadangkan memberikan pengesahan luaran pelan pengembangan Sunway Healthcare Group oleh pelabur penjagaan kesihatan berpengalaman," katanya.

Pelaburan itu seiring dengan strategi Kumpulan Sunway apabila bahagian penjagaan kesihatan Kumpulan Sunway akan melakukan pengembangan kapasiti di Sunway Medical Centre Sunway City, Selangor dan Sunway Medical Centre Velocity, Kuala Lumpur dan telah memulakan rancangan pengembangan untuk membina enam lagi hospital dalam beberapa tahun akan datang, ia adalah pembangunan bersepadu kumpulan itu di Malaysia.

Selain memperluas hospital sedia ada dan membina hospital baharu, Sunway Healthcare Group yang dicadangkan juga berhasrat untuk memperluas perniagaan lain yang berkaitan dengan kesihatan seperti penjagaan kesihatan di rumah, tempat tinggal untuk warga emas, pusat telemedicine dan pusat perubatan tradisional.

Pada sesi Soal Jawab secara maya hari ini, beliau berkata hospital baharu itu dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

Katanya, Kumpulan Sunway Healthcare akan melakukan tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh enam hingga lapan tahun, selepas hospital berkenaan selesai dibina.

"Kami mahu hospital kami mula menjana wang sebelum menyenaraikannya. Justeru, sebelum pelaksanaan IPO kami, hospital-hospital yang akan kami sedang bina akan siap kelak," katanya.

Cheah yang menguasai sekitar 63 peratus kepentingan ekuiti dalam Sunway Bhd berkata syarikat gembira menerima pelaburan daripada GIC kerana kedua-dua telah lama menjalinkan kerjasama.

"GIC telah menjadi rakan niaga kami kira-kira 20 tahun yang lalu ketika kami terjejas teruk akibat krisis kewangan di Asia dan mereka bersama kami kira-kira 10 tahun," katanya.

Cheah berkata, mereka adalah antara pembida yang menawarkan jumlah yang lebih tinggi ketika konglomerat itu merancang untuk mengumpulkan dana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 9:14 PM