TNB
TNB
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan DHL Express Malaysia (DHL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan kerangka rantaian bekalan mesra alam.

MoU ini juga memfokuskan kepada perkhidmatan penghantaran yang lebih mesra alam dengan pengenalan kenderaan elektrik (EV) dalam kumpulan kenderaan DHL, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian baharu bagi DHL dalam komitmen logistik pelepasan sifarnya menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata, kerjasama ini memanfaatkan kepakaran kolektif TNB dalam pengurusan tenaga, pengauditan tenaga dan solusi tenaga lestari ke arah masa depan yang lebih mampan bagi negara.

"Seiring dengan pertambahan penggunaan kenderaan elektrik oleh DHL pada tahun akan datang, TNB berhasrat untuk menyediakan lebih banyak stesen pengecas EV di fasiliti dan laluan penghantaran DHL," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, MoU ini turut membabitkan kerjasama kedua-dua pihak dalam inisiatif karbon sifar dan pengurangan kos termasuk penggunaan peralatan yang cekap tenaga, sistem pengurusan tenaga bangunan dan panel solar pada bumbung.

DHL kini sedang meneliti rantaian bekalan elektrik TNB bagi mengenal pasti peluang untuk penambahbaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:33 AM