Touch 'n Go GO+
Touch 'n Go GO+
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Touch 'n Go Group melakar satu lagi pencapaian penting apabila pengguna produk perkhidmatan pelaburan GO+ melepasi sejuta pengguna dalam tempoh kira-kira dua bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya berjaya meraih pencapaian penting ini dalam tempoh kira-kira dua bulan dan melepasi jangkaan dalaman kumpulan.

"Kami akan membina kejayaan ini dan menambah pelbagai produk dalam kategori terbabit. Kami juga akan melakukan penambahbaikan kepada GO+ daripada maklum balas menggalakkan pengguna dan data pengalaman pengguna," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ramai pengguna perkhidmatan itu mendapati fungsi baki GO+ dan e-dompet Touch 'n Go amat menarik, sekali gus ia meningkatkan pendaftaran.

"Satu lagi data yang amat menggalakkan adalah capaian dan agendanya terhadap keterangkuman. Sebanyak 73 peratus pengguna GO+ adalah dari luar Lembah Klang dan angka itu terus meningkat," katanya.

Touch 'n Go melancarkan GO+ pada 29 Mac lalu sebagai langkah pertama ke arah perkhidmatan kewangan digital.

GO+ adalah produk pelaburan terangkum kewangan yang membenarkan pengguna e-dompet Touch 'n Go dan semua rakyat Malaysia mendapat akses kepada pelaburan pasaran wang berisiko rendah daripada harga serandah RM10.

Selain dapat menjana lebih daripada akaun perbankan semasa, baki GO+ juga boleh digunakan merentasi semua pembayaran e-dompet Touch 'n Go.

Selain GO+, Touch 'n Go turut memperkenalkan kempen +Kawan yang membolehkan pengguna mendapat manfaat dengan merujukkan perkhidmatan GO+ kepada rakan atau keluarga.

Pengguna memperoleh bonus kadar pulangan satu peratus bagi setiap rakan, dengan tanpa had rakan yang boleh dijemput.

Sehingga kini, tiga perujuk tertinggi masing-masing sudah memperkenalkan 153, 133 dan 74 rakan dengan kempen +Kawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 2:47 PM