Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menyifatkan pemberian insentif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) sebagai langkah tepat membantu usahawan mengekalkan daya tahan perniagaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian menyokong penuh pemberian insentif termasuk bantuan geran dan pembiayaan berjumlah RM11.5 bilion akan memberi manfaat kepada golongan usahawan.

Ia langkah tepat untuk membantu usahawan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengekalkan daya tahan perniagaan dalam tempoh yang mencabar sepanjang sekatan pergerakan.

Sekatan pergerakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) berkuatkuasa semalam sehingga 14 Jun ini.

"PMKS yang berjumlah lebih 1.15 juta pada 2020, memberi sumbangan yang amat signifikan dalam pembangunan sosio-ekonomi negara dan ia menyumbang kepada hampir separuh daripada guna tenaga di negara ini iaitu sebanyak 7.3 juta orang," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya inisiatif Pemerkasa Tambahan yang bakal memberi manfaat kepada usahawan yang terkesan termasuklah Bantuan Pinjaman Bank Bersasar bagi perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, Program Majlis Amanah Rakyat (Mara) Prihatin dengan diskaun 30 peratus bagi sewaan premis dan Program Subsidi Upah berjumlah RM1.5 bilion.

Inisiatif lain ialah Geran Khas Prihatin (RM1.5 bilion) serta Pembiayaan Mikro Kredit di bawah Bank Simpanan Nasional, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Mara, SME Corp dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) bernilai RM1.5 bilion.

Pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks beli-belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan turut layak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus selama tiga bulan tambahan antara Julai dan September 2021.

Selain itu, potongan khas turut akan diberikan kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk enam bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa semasa.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:50 AM