Syed Hussian
Syed Hussian

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.2 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 (S1TK21), perubahan lebih 100 peratus berbanding kerugian bersih RM30 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Ia adalah keuntungan suku tahunan ketiga berturut-turut dan keuntungan suku pertama yang pertama kumpulan sejak 2016.

Pendapatan kumpulan meningkat sebanyak 7.0 peratus kepada RM254.5 juta pada suku dikaji berbanding RM238.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Media Prima dalam satu kenyataan berkata, pencapaian itu diraih menerusi pertumbuhan perolehan segmen penyiaran, perdagangan dan media digital.

Katanya, dalam segmen penyiaran, kumpulan mencatatkan PAT sebanyak RM10.7 juta dalam suku pertama 2021 berbanding kerugian RM18.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Katanya, ini dicapai melalui peningkatan perolehan sebanyak 16 peratus kepada RM92.5 juta pada suku dikaji disebabkan oleh perolehan pengiklanan lebih mantap dipacu oleh Media Prima Omnia melalui perniagaan jualan bersepadunya yang dilancarkan pada April 2020.

"Pada suku pertama, kumpulan menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi Didik TV KPM yang mula beroperasi pada Februari 2021.

"Ini menunjukkan keupayaan kumpulan dalam memanfaatkan kekuatan platform penyiarannya dan membuka lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan pihak luar berdasarkan kepada capaian tontonan luas dan keupayaan penyediaan produksi kandungan oleh Media Prima," katanya.

Menurutnya, segmen perdagangan kumpulan, WOWSHOP meneruskan pencapaian yang mantap apabila mencatatkan PAT sebanyak RM2.5 juta dengan peningkatan 19 peratus perolehan pada suku dikaji berbanding suku sama sebelumnya.

Katanya, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun 2021, WOWSHOP mencatatkan lebih 171,000 pelanggan berdaftar baharu, menjadikan jumlah pelanggan berdaftarnya melebihi 2.6 juta sejak pelancarannya pada tahun 2016.

"Jualan daripada platform e-dagang dan mudah alih WOWSHOP meningkat melebihi 60 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan pada S1TK21.

"Segmen digital Media Prima, REV Media Group mencatatkan PAT sebanyak RM0.6 juta pada S1TK21 berbanding kerugian RM0.07 juta dicatatkan pada S1TK20.

"Perolehan segmen ini meningkat 11 peratus kepada RM19.3 juta," katanya.

Biarpun menghadapi cabaran berterusan yang menjejaskan industri, segmen penerbitan kumpulan iaitu The New Straits Times Press dan Print Towers mengurangkan kerugian sebanyak 97 peratus pada S1TK21 berbanding suku pertama tahun lalu.

"Kumpulan menaruh harapan kepada pemulihan segmen ini bagi suku-suku tahunan 2021 berdasarkan kepada suasana ekonomi yang mulai pulih akibat pandemik Covid-19," katanya.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, keputusan kewangan mantap syarikat yang dicatatkan pada suku-suku tahunan kebelakangan ini menandakan pemulihan yang ketara kepada kumpulan.

Ini, katanya, terutama ketika pandemik Covid-19 dan langkah pencegahan penularannya memberi impak yang besar kepada ekonomi dan industri.

"Langkah strategik untuk mentransformasi perniagaan kami pada tahun 2020 membina asas yang lebih kukuh, bukan sahaja untuk menghadapi cabaran dengan lebih baik, malah untuk mencapai pertumbuhan jangka panjang lebih baik.

"Kami berpuas hati dengan pencapaian S1TK21 kerana biasanya, suku tahunan pertama adalah suku tahunan yang sukar buat kumpulan.

"Dengan program vaksinasi yang sedang dilaksanakan, kami berharap semua akan menjadi lebih baik di masa hadapan. Kami juga mengharapkan pemulihan korporat dan pada masa sama akan terus memantau dengan teliti kecekapan operasi kumpulan," katanya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Kumpulan, Rafiq Razali berkata, pihaknya memulakan tahun 2021 dengan langkah yang positif, merekodkan keuntungan suku tahunan kumpulan buat kali ketiga berturut-turut, di samping mengurangkan kerugian di beberapa platform.

"Perolehan daripada pengiklanan, percetakan dan edaran surat khabar, serta jualan kandungan bertambah baik. Ini adalah hasil daripada usaha pasukan kami yang mempamerkan kreativiti, fleksibiliti dan ketahanan diri ketika menempuhi waktu yang begitu mencabar.

"Usaha optimisasi kos yang diambil pada tahun 2020 membolehkan kami beroperasi di tahap yang lebih efisien.

"Melangkah ke hadapan, kami akan terus berusaha mencapai sinergi di semua perniagaan kami dan mencari penyelesaian kreatif untuk memanfaatkan kelebihan platform media kami bagi memenuhi trend pelanggan yang sentiasa berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 7:00 AM