KLIA menjadi lapangan terbang kesembilan terbaik di dunia dari segi kualiti perkhidmatan pada suku pertama 2021.
KLIA menjadi lapangan terbang kesembilan terbaik di dunia dari segi kualiti perkhidmatan pada suku pertama 2021.

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi lapangan terbang kesembilan terbaik di dunia dari segi kualiti perkhidmatan pada suku pertama 2021 bagi kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa), menurut satu kaji selidik.

Dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) global oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa, KLIA merekodkan skor 4.99 daripada 5.00, meningkat daripada 4.98 pada tahun lalu dengan KLIA menjadi antara 10 lapangan terbang terbaik dunia berdasarkan hasil kaji selidik yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, selain KLIA, usaha pihaknya dalam mempertingkatkan tahap perkhidmatan turut berhasil apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) dinamakan sebagai lapangan terbang ketiga terbaik dunia bagi kategori dua hingga lima mppa, apabila mencatatkan skor 4.97 daripada 5.00 dalam kaji selidik ASQ pada tempoh yang sama.

Beliau berkata, pihaknya terus memanfaatkan tempoh tenang susulan sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik untuk melaksanakan pelbagai tindakan menambah baik pengalaman penumpang dan memastikan kesediaan lapangan terbang apabila trafik penumpang kembali meningkat kelak.

"Walaupun mengalami penguncupan ketara trafik penumpang, namun kami tidak cepat berpuas hati dalam usaha memastikan perkhidmatan dan kemudahan kami berada pada tahap terbaik.

"Hasil memberangsangkan daripada usaha komuniti lapangan terbang di KLIA dan LGK dalam melaksanakan langkah keselamatan dan memberikan perkhidmatan luar biasa ketika norma perjalanan baharu pastinya akan membantu memulihkan keyakinan penumpang," katanya dalam kenyataan.

Penandaarasan ASQ bagi lapangan terbang dunia adalah dari segi kepuasan penumpang keseluruhan terhadap keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

Bulan lalu, jumlah pergerakan penumpang keseluruhan di lapangan terbang Malaysia adalah kira-kira dua juta bagi rangkaian lapangan terbang tempatan begitu juga aset di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istanbul (ISG).

Mohd Shukrie berkata, sempadan negara masih ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan berikutan kes Covid-19 harian kembali meningkat.

Bagaimanapun, pergerakan penumpang keseluruhan bagi rangkaian lapangan terbang tempatan pada April lalu mencatatkan 630,000 iaitu hampir kepada peningkatan sebanyak 8.0 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Beliau berkata, ini susulan peningkatan operasi oleh syarikat penerbangan bagi sektor domestik dengan pertambahan 161 penerbangan mingguan atau pertumbuhan 19 peratus daripada angka pada Mac lalu, di samping mengekalkan purata faktor muatan melebihi 57.0 peratus.

AirAsia merekodkan purata faktor muatan tertinggi iaitu 60 peratus pada April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 7:01 AM