AHMAD Taufek  (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Telefonica Global Solutions, Julio Beamonte.
AHMAD Taufek (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Telefonica Global Solutions, Julio Beamonte.

TELEKOM Malaysia Bhd (TM) memeterai Perjanjian Perkhidmatan Utama (MSA) dengan Telefonica Tech menerusi Telefonica Global Solutions bagi memperkukuhkan penyelesaian infrastruktur digital untuk menentang ancaman siber di negara ini.

Ia dilaksana menerusi TM ONE, unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awam TM bertujuan memperkukuhkan penyelesaian infrastruktur digital yang membolehkannya menawarkan penyelesaian keselamatan siber global untuk Sektor perusahaan dan awam di Malaysia bagi menentang ancaman siber.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar berkata, MSA itu akan membolehkan TM ONE membangun dan melaksanakan strategi keselamatan siber global untuk pasaran Malaysia.

"Telefonica Tech akan memberikan khidmat rundingan untuk menyokong dan membina program keselamatan siber yang holistik bagi pembangunan Pusat Operasi Keselamatan Siber Global TM ONE.

"Ia termasuk latihan dalam perkhidmatan keselamatan siber bagi meningkatkan kecerdasan dan kemahiran digital tenaga kerja tempatan.

"Kami teruja dapat bekerjasama dengan Telefonica Tech, sebuah syarikat telekomunikasi antarabangsa untuk membawakan penyelesaian bertaraf antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 7:20 AM