MALAYSIA Airlines menawarkan fleksibiliti kepada penumpang untuk menempah semula tiket mereka.
MALAYSIA Airlines menawarkan fleksibiliti kepada penumpang untuk menempah semula tiket mereka.

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines menawarkan fleksibiliti kepada penumpang untuk menempah semula tiket mereka berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan antara negeri.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata, ia melanjutkan fleksibiliti perjalanan dengan menawarkan kesahan (validity) tiket yang lebih lama dengan perbezaan tambang sekali dan perkhidmatan pengecualian fi.

"Penumpang yang layak kini boleh menempah semula tiket penerbangan mereka pada atau sebelum 31 Disember 2021 untuk perjalanan hingga Jun 2022.

"Sebelum ini, Malaysia Airlines sudah menawarkan fleksibiliti kepada pelanggan untuk menempah semula tiket pada atau sebelum 30 Jun 2021 untuk perjalanan sehingga Disember 2021," katanya.

Sementara itu, syarikat penerbangan itu menggalakkan penumpang merancang tempahan lebih awal untuk perjalanan akan datang bagi memilih tiket ekonomi flex.

"Tiket ekonomi flex bertujuan memberikan proses perjalanan tanpa tekanan dan mudah. Ia dilengkapi dengan manfaat seperti perubahan tarikh tanpa had tanpa dikenakan fi berserta faedah perjalanan lain termasuk bayaran balik percuma tanpa dikenakan fi," katanya.

Faedah lain adalah fleksibiliti Go Show (yang membolehkan penumpang bersiap sedia untuk penerbangan lebih awal pada hari sama ke destinasi sama), keutamaan daftar masuk dan berlepas dengan elaun bagasi daftar masuk sebanyak 35 kilogram.

Seiring dengan normal baharu, Malaysia Airlines akan memperkenalkan Pas Kesihatan Perjalanan Digital, ciri yang akan melancarkan perjalanan penumpang dengan dasar berkaitan Covid-19 di seluruh dunia.

"Berikutan Malaysia terus mengenakan arahan kuarantin bagi ketibaan antarabangsa daripada destinasi tertentu, manakala MHholidays, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines menawarkan pakej kuarantin yang didatangkan dengan hospitaliti premium di rakan hotel terpilih.

"Selain itu, pelanggan boleh menjalani proses kuarantin yang baik dan selesa di hotel yang diluluskan Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya tujuh malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 7:01 AM