Khazanah Nasional.
Khazanah Nasional.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Bhd berjaya memuktamadkan tawaran 53.8 juta saham Telekom Malaysia Berhad (TM) pada harga RM5.80 sesaham, sekali gus meraih hasil kasar berjumlah RM312 juta.

Menerusi kenyataan hari ini, Khazanah menjelaskan harga tawaran itu mewakili diskaun 3.0 peratus daripada harga penutupan pasaran bagi saham berkenaan iaitu RM5.98 pada 14 April 2021.

Susulan penawaran itu, Khazanah bagaimanapun kekal memegang kira-kira 20.1 peratus saham dalam TM.

Dana kekayaan berdaulat negara itu menambah berasaskan pemulihan harga saham serta permintaan kukuh terhadap saham TM, didorong oleh pengumuman kerajaan berkaitan inisiatif MyDIGITAL yang digerakkan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, tawaran itu memberi peluang kepadanya untuk meraih sebahagian hasil pelaburan dalam TM.

"Ini sekali gus akan meningkatkan lagi jumlah apungan serta daya tarikan saham TM.

"Saham berkenaan ditawarkan kepada sekumpulan pelabur institusi jangka panjang tempatan serta pelabur institusi pelbagai strategi, yang mana sebahagian besar pelabur adalah dalam kalangan pelabur dana jangka panjang tempatan," menurut Khazanah.

Credit Suisse dan CIMB adalah pengatur bersama tawaran saham itu.

Menurut Khazanah, langkah penawaran saham itu adalah sebahagian usaha berterusannya untuk mengimbangi semula portfolio serta mengitar semula pelaburan dalam aset sedia ada kepada aset baharu, termasuk aset yang dianggap strategik untuk masa depan negara.

"Dalam hal ini, hasil daripada tawaran berkenaan akan digunakan untuk pelaburan baharu, termasuk pelaburan dalam sektor strategik baharu yang dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 9:01 PM