Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Malaysia kini di ambang jaringan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga, apabila perkhidmatan secara maya sudah menjadi suatu kelaziman dalam suasana norma baharu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos tahun lalu berkenaan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025), negara kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran seterusnya.

"Kerajaan memperuntukkan RM500 juta di bawah Belanjawan 2021 untuk membiayai salah satu sasaran utama Jendela untuk tahun ini, iaitu langkah memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 sekolah di seluruh Malaysia.

"Pada masa sama, kerajaan memperuntukkan RM7.4 bilion melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar," katanya dalam kenyataan sempena Laporan Laksana ke-49, semalam.

Menurutnya, Fasa 1 Jendela bermula sejak enam bulan lalu dan akan berterusan sehingga akhir tahun 2022, dengan fokus diberikan kepada usaha memperluas akses jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit kepada 7.5 juta premis di seluruh negara.

"Tumpuan juga diberikan untuk memperluas liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk, mempertingkat kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir tahun 2021 bagi tujuan pemantapan rangkaian 4G dan memperkukuh rangkaian asas bagi 5G," katanya.

Menteri kewangan berkata, usaha bagi meningkatkan pendigitalan negara turut disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi program #SayaDigital yang dilancarkan baru-baru ini.

"Program #SayaDigital diwujudkan bertujuan bagi meningkatkan kadar celik digital dalam kalangan rakyat golongan B40, belia, warga emas dan kumpulan rentan sosioekonomi di negara ini.

"Inisiatif ini menyasarkan kumpulan sosioekonomi yang lebih berfokus menerusi pelbagai program, seminar dan skim latihan dilaksanakan sejak Ogos 2020.

"Ini termasuk Latihan Literasi Digital Asas dan seminar perniagaan secara maya bertujuan membantu masyarakat menggunakan platform digital untuk menjana pendapatan melalui eRezeki.

"Bagi menggiatkan lagi inisiatif ini, usaha ini akan diteruskan di pelbagai lokasi dengan kerjasama Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pusat Internet Komuniti sehingga akhir tahun ini dengan sasaran 10,000 pendaftaran di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 7:00 AM