MALAYSIA diunjur mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara 6.5 dan 7.0 peratus pada tahun ini. FOTO Arkib NSTP
MALAYSIA diunjur mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara 6.5 dan 7.0 peratus pada tahun ini. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Proses mencerdaskan ekonomi negara akan menjadi lebih pantas jika bekalan vaksin tiba mengikut jadual ditetapkan sehingga hujung tahun ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sekiranya negara dapat melengkapkan proses Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sehingga hujung tahun ini, maka secara tak langsung ia membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi.

"Jika mengikut unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara 6.5 ke 7.0 peratus pada 2021.

"Ini satu perkembangan yang baik jika dibandingkan dengan tahun lalu yang mana suku tahun kedua, kita mencatatkan penguncupan sebanyak -17.1 peratus dan melihat kepada keseluruhan tahun lalu, walaupun menunjukkan perkembangan sedikit positif, negara masih lagi merekodkan penguncupan -5.6 peratus.

"Maka, apabila Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan (6.5 ke 7.0 peratus) tahun ini, ia jelas menunjukkan tanda-tanda yang lebih meyakinkan terutama disokong program vaksinasi," katanya.

Menurutnya, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sudah menyatakan proses pemulihan ekonomi akan bermula pada suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap proses vaksinasi berjalan lancar kerana ia bukan sahaja membendung penularan Covid-19, bahkan membantu ekonomi negara pulih dengan lebih cepat.

"Kita menggalakkan rakyat tampil mengambil suntikan vaksin kerana ia penting tidak hanya untuk kesihatan rakyat, malah untuk ekonomi negara," katanya.

Selain itu, katanya 2021 bakal menjanjikan pelbagai prospek baharu dalam usaha memampankan semula ekonomi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 8:48 AM