GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Bagi membantu usahawan meneruskan operasi lebih baik dalam era pandemik Covid-19, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan nilai ambang keterhutangan bagi syarikat daripada RM10,000 kepada RM50,000 akan diteruskan berkuat kuasa 1 April lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu susulan keadaan ekonomi global dan dalam negara yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih akibat pandemik Covid-19.

"Sebelum ini, inisiatif ini adalah langkah sementara bermula daripada 23 April tahun lalu sehingga 31 Mac lalu bagi memberikan perlindungan kepada syarikat dengan nilai ambang keterhutangan yang lebih tinggi daripada nilai sedia ada iaitu RM10,000 supaya risiko syarikat dikenakan tindakan penggulungan dapat dikurangkan.

"Kesan pelaksanaan inisiatif itu menyaksikan hanya 665 petisyen penggulungan diserah simpan ke SSM bagi tempoh April hingga Disember tahun lalu berbanding 1,760 pada 2019 dan 1,533 tahun sebelumnya.

"Kenaikan nilai ambang keterhutangan syarikat ini dijangka akan terus dapat mengurangkan jumlah petisyen penggulungan dan syarikat mampu meneruskan urusan perniagaan dengan yakin serta masih mematuhi undang-undang berdasarkan relief kekal nilai amaun keterhutangan yang diberikan," katanya dalam pembentangan Laporan Laksana ke-48 melalui Facebooknya, semalam.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, 132,118 individu berjaya mendapat pekerjaan melalui program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan sehingga 26 Mac lalu berbanding hanya 131,568 minggu sebelumnya.

Katanya, antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit.

"Bagi Program Subsidi Upah (PSU) 1.0 pula, sehingga tarikh tutup permohonan pada 26 Februari lalu, 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja menerima manfaat PSU di bawah Prihatin dan Penjana dengan nilai RM12.841 bilion.

"Manakala di bawah Kita Prihatin, kerajaan memperkenalkan PSU 2.0 dan hingga 26 Mac lalu, RM1.112 bilion disalurkan kepada 72,875 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 626,955 pekerja.

"Ini antara inisiatif kerajaan dalam memastikan pengekalan dan penjanaan pekerjaan.

"Selain itu, program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran pula, 137,290 peserta sudah diluluskan untuk mengambil bahagian dalam program yang disediakan.

"Kami sentiasa menggalakkan mereka yang sedang mencari pekerjaan terutama belia, sertai kursus yang disediakan antaranya oleh Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB), Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 9:15 AM