DARI kiri, CEO TNG Digital, Ignatius Ong, Effendy Shahul dan Munirah pada  Majlis Pelancaran GO+, semalam.
DARI kiri, CEO TNG Digital, Ignatius Ong, Effendy Shahul dan Munirah pada Majlis Pelancaran GO+, semalam.
Oleh Hajar Umira Md Zaki

TOUCH 'n Go (TNG) Group menyasar untuk memperoleh kira-kira satu juta individu untuk akaun GO+, produk pelaburan inklusif kewangan terbarunya yang membolehkan pengguna Touch 'n Go eWallet dan seluruh rakyat Malaysia membuat pelaburan pasaran kewangan berisiko rendah bermula dengan hanya RM10.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan, Effendy Shahul Hamid berkata, pelancaran GO+ adalah langkah pertama syarikat TNG bergerak ke arah servis pendigitalan kewangan.

"GO+ diperkenalkan untuk mengatasi masalah utama pengguna, mempromosikan penyertaan kewangan serta menekankan penggunaan data dan teknologi bagi memberikan produk yang bernilai tinggi kepada pengguna,

"Bagi memudahkan pelanggan, kami juga memperkenalkan fungsi cash-out yang membolehkan pergerakan wang dari e-dompet pengguna ke akaun bank," katanya menerusi sidang media secara maya, semalam.

Effendy Shahul berkata, menerusi pelancaran itu, ia membawa produk GO+ kepada rakyat Malaysia adalah kerana kolaborasi antara TNG dan Principal sebagai pengurusan.

"Kami juga berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atas usaha mereka dalam memudah cara produk GO+ ini," katanya.

Pelancaran GO+ dijayakan bersama oleh Dana e-Tunai Utama yang diterajui oleh Principal Asset Management iaitu syarikat pengurusan aset Asean terkemuka.

Sementara itu, CEO Principal Asset Management Munirah Khairuddin berkata, semua inisiatif yang dijalankan oleh pihak terbabit adalah bertujuan memupuk kewangan selamat yang boleh dicapai oleh rakyat Malaysia.

"Pihak kami komited dalam membantu rakyat Malaysia mencapai keselamatan kewangan dalam pelbagai situasi ekonomi.

"Tidak mengira latar belakang mereka, rakyat Malaysia sekarang boleh bermula membuat pelaburan serta memupuk sikap pelaburan dan menyimpan, pada masa yang sama boleh membuat perbelanjaan,

"Dana e-Tunai Utama diperkenalkan secara spesifik kepada GO+ dan memfokuskan kepada kemudahan serta peningkatan hasil. Dengan hanya RM10, pengguna dapat membuat pelaburan serta memperoleh pulangan secara harian di akaun pelaburan e-dompet," katanya.

GO+ bakal diperkenalkan kepada di Touch 'n Go eWallet bermula semalam dan terbuka kepada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 6:50 AM