Menara Bank Islam.
Menara Bank Islam.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Bhd kini memperluas kemudahan pembiayaan mikro BangKIT kepada segmen usahawan siswa dan belia untuk menggalakkan golongan muda menceburi bidang keusahawanan selain menyokong kelangsungan dan perkembangan perniagaan sedia ada.

Usaha tersebut membabitkan pemeteraian perjanjian usaha sama strategik antara Bank Islam dan dua rakan pelaksana baharu iaitu Universiti Malaysia Kelantan dan Majlis Belia Malaysia baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kemudahan tersebut dapat menyediakan sokongan dana yang diperlukan dalam membantu perniagaan yang dimiliki golongan muda.

"Ia turut memperkasakan pengetahuan dan kemahiran usahawan siswa dan belia agar dapat mereka berdaya tahan, inovatif dan bersaing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar hari ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, Bank Islam berharap usaha itu dapat memberi motivasi dan memperkukuh ekonomi kehidupan usahawan siswa dan belia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Mohd Muazzam berkata, pihaknya juga berharap kemudahan kewangan sosial itu dapat melahirkan usahawan berdaya maju yang dapat menyumbang kepada kemakmuran masyarakat setempat.

"Kami turut bersedia untuk bekerjasama dengan lebih banyak universiti awam dan swasta bagi usaha ini," katanya.

Menurut Bank Islam kemudahan pembiayaan mikro BangKIT, dilancarkan pada 25 Nov, 2020, memanfaatkan sumbangan atau sedekah yang diterima daripada masyarakat umum atau organisasi melalui Dana Kekal menerusi platform pendanaan awam Bank Islam, Sadaqa House, bagi membantu usahawan mikro yang layak.

Penerima kemudahan pembiayaan akan turut diberi latihan dan bimbingan perniagaan secara praktikal yang dijalankan oleh rakan pelaksana bagi memastikan pertumbuhan dan kemampanan perniagaan yang diusahakan, jelasnya.

Bank itu menambah menerusi sinergi berimpak tinggi dengan rakan pelaksana lain, BangKIT juga membimbing usahawan mikro yang sebelum ini tidak mendapat perkhidmatan perbankan untuk menjadi kumpulan pelanggan yang layak mendapat perkhidmatan perbankan.

Pembiayaan Mikro BangKIT ditawarkan di bawah kontrak Qard (pinjaman tanpa faedah), menurutnya.

Ia menyediakan pembiayaan serendah RM500 dan sehingga RM3,000 bagi perniagaan baharu, dan RM3,000 hingga RM20,000 bagi tujuan pengembangan perniagaan dengan tempoh bayaran balik di antara enam bulan dengan tiga tahun.

Berita berkaitan:

  • Sasar bantu 3,500 usahawan mikro
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 3:31 PM