MOHD Yusni memaklumkan peringkat permulaan    Mukmin Mart akan diperkenalkan di 81 pasar tani seluruh Lembah Klang.
MOHD Yusni memaklumkan peringkat permulaan Mukmin Mart akan diperkenalkan di 81 pasar tani seluruh Lembah Klang.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Petaling Jaya: Mukmin Pay Sdn Bhd, bersedia membantu transformasi digital peniaga pasar tani di seluruh negara menerusi aplikasi Mukmin Mart.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yusni Ismail berkata, aplikasi pasaran penghantaran makanan mudah alih (e-hailing) Mukmin Mart diwujudkan untuk meningkatkan jualan produk terutama buatan Muslim yang dipasarkan di pasar tani dan MyFarm menerusi pembelian secara dalam talian.

Katanya, untuk permulaan Mukmin Mart akan diperkenalkan di 81 pasar tani seluruh Lembah Klang membabitkan 1,000 peniaga sebelum meluaskannya ke negeri lain.

"Kami sasarkan suku pertama 2021 Mukmin Mart akan berada di 30 pasar tani yang sudah berdaftar dan beroperasi di Lembah Klang.

"Seterusnya kami akan ke Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Terengganu dan Kelantan menjelang akhir tahun ini.

"Setakat ini, perkhidmatan Mukmin Mart tersedia di pasar tani Danau Kota (Setapak), Taman Koperasi Polis Fasa Satu, Bukit Angkasa Pantai Dalam dan MyFarm (Putrajaya) membabitkan 200 peniaga yang turut diberi telefon pintar ViVo percuma," katanya kepada Bisnes Metro.

Mohd Yusni berkata, kelebihan Mukmin Mart adalah menerusi pembelian walk-in tanpa tunai yang mana pengguna digalakkan membayar mengunakan e-dompet sedia ada yang terdapat di aplikasi Mukmin Mart dengan hanya mengimbas kod QR yang tersedia di pasar tani serta pesanan awal (sebelum pasar tani dibuka) selain kemudahan pembelian dalam talian dan ambil pesanan di lokasi.

Menurutnya, Mukmin Mart juga menyasarkan 3,000 Mukmin Rider di seluruh negara tahun ini yang mampu menjana pendapatan sampingan sehingga RM3,000 sebulan.

Beliau berkata, kelebihan menjadi Mukmin Rider selain komisen lumayan, mereka turut diberi khairat kematian dan perlindungan kemalangan peribadi secara berkelompok (GPA) sehingga RM100,000.

"Bagi mereka yang mendaftar awal sebagai Mukmin Rider akan diberi beg serta t-shirt percuma serta telefon pintar ViVo," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 7:59 AM