Dr Mohd Yusof Saari.
Dr Mohd Yusof Saari.
HM Bisnes

Kuala Lumpur: Isu pengangguran, pekerjaan dan perniagaan dapat dipulihkan secara 'semula jadi' dan lestari jika kerajaan memastikan aktiviti ekonomi terus dibuka.

Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, pengalaman melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 antara Mac hingga Mei 2020 cukup memberi pengetahuan dan penanda aras kepada 'kesakitan' ekonomi negara.

"Hanya dengan membenarkan aktiviti ekonomi berjalan, maka isu pengangguran, pekerjaan dan perniagaan dapat dipulihkan.

"Malah, apa yang paling penting, bantuan yang diberikan kerajaan adalah bersasar dan bersifat menyeluruh kepada mereka yang menerima impak paling besar akibat pandemik Covid-19.

"Selain itu, atas sebab keterbatasan fiskal, kerajaan perlu memastikan semua aktiviti ekonomi perlu terus dibuka," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi pasca-Covid-19, arah tuju pemulihan dan pemerkasaan ekonomi antara perkara utama yang akan dinilai oleh pelabur luar negara.

Katanya, bagi 2021 sehingga 2025, negara akan dipacu oleh perancangan jangka sederhana Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

"Dasar dan strategi yang dirancang dalam RMK-12 akan menjadi rujukan kepada corak dan jenis pelaburan asing langsung (FDI).

"Contohnya, RMK-12 dijangka memberi tumpuan kepada aspek kelestarian, justeru pelaburan yang bersifat lestari kepada alam sekitar, ekonomi dan sosial akan diberi keutamaan.

"Selain daripada dasar pemulihan dan pemerkasaan ekonomi yang jelas, FDI juga dipengaruhi oleh kestabilan politik dalam negara itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 8:23 AM