PARCELHUB sudah mengenal pasti 60 lokasi baharu untuk memulakan operasi.
PARCELHUB sudah mengenal pasti 60 lokasi baharu untuk memulakan operasi.

PARCELHUB dan Shopee menandatangani perjanjian yang membolehkan penjual tempatan Shopee mengirim barangan jualan mereka di mana-mana 200 pusat perkhidmatan kurier dan pemenuhan e-dagang sehenti Parcelhub yang bertindak sebagai pusat drop-off Shopee Xpress.

Pengarah Urusan Parcelhub, Vincent Ho berkata, Parcelhub mempunyai rangkaian pusat yang tersebar luas di bandar atau pekan di seluruh Semenanjung seperti Tanah Merah di Kelantan dan Kuala Rompin di Pahang.

"Kerjasama ini memberi peluang kepada penjual Shopee luar bandar capaian yang mudah untuk menjana pendapatan di samping menawarkan kelebihan kepada Parcelhub, Shopee dan penjual secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ia kini beroperasi di 200 cawangan dan memproses lebih 10 juta bungkusan menjelang akhir tahun lalu.

"Kami kini menyediakan perkhidmatan di lebih 500 komuniti tempatan di 55 daerah di 10 negeri dan dua Wilayah Persekutuan.

"Perkhidmatan kami memberi kemudahan kepada semua lapisan masyarakat yang mengharapkan rakan yang cekap untuk menghantar bungkusan mereka," katanya.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti 60 lokasi baharu untuk memulakan operasi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, pihaknya sentiasa mencari cara untuk meningkatkan perkhidmatan.

"Asas perkhidmatan kami adalah penghantaran cepat dan selamat. Perkongsian dengan Parcelhub akan membantu kami menepati janji berkenaan," katanya.

Menurutnya, Shopee memulakan usaha perkongsian dengan Parcelhub sejak beberapa bulan lalu dengan menjalankan kajian kelayakan ke atas pelbagai kaedah dan laluan perjalanan untuk memperbaiki waktu pengiriman Shopee Xpress.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 7:30 AM