GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengambilalihan oleh bahagian panggung wayang PPB Group Bhd, Golden Screen Cinemas (GSC) ke atas majoriti aset-aset layar perak MBO Cinemas dijangka akan menyumbang kepada aliran tunai dan mengukuhkan kedudukan kumpulan itu di Malaysia.

Pengarah Urusan PPB Group, Lim Soon Huat berkata, keputusan itu mencerminkan langkah strategik serta peluang bagi mempelbagaikan pendapatan GSC, bertepatan dengan pengedaran vaksinasi sekarang ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nilai pengambilalihan tersebut kerana ianya terikat dengan perjanjian kerahsiaan.

"Walaupun 2020 merupakan tahun terburuk bagi industri pawagam, kami percaya dengan pemulihan susulan usaha vaksinasi serta pembukaan pawagam secara beransur-ansur di seluruh dunia, pengambilalihan ini akan membentangkan peluang yang baik untuk rangkaian pawagam GSC," katanya ketika taklimat media maya PPB hari ini.

Pada 23 Feb, GSC menandatangani Perjanjian Penjualan Aset untuk memperoleh majoriti aset MBO Cinemas. Perjanjian itu dijangka dimuktamadkan menjelang akhir Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif GSC Koh Mei Lee berkata, penjenamaan semula di bawah nama GSC akan dilaksanakan sebaik sahaja proses itu selesai.

Menurutnya, kemungkinan 2021 tetap menjanjikan prospek yang lembap untuk GSC tetapi operator pawagan itu menjangkakan pemulihan secara beransur-ansur akan tercetus pada suku ketiga dan keempat tahun ini, seterusnya pulih sepenuhnya menjelang 2022.

"Kami percaya pandemik COVID-19 hanya memberikan cabaran sementara kepada industri dan dengan itu, sebaik sahaja ia berakhir, lebih banyak tayangan akan dilepaskan ke skrin tidak lama lagi," katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai pengeluaran bersama berkata GSC akan meneliti untuk meningkatkan lebih banyak kandungan, yang mana GSC Movies telah pun menyiapkan lima produksi kandungan tempatan sekarang ini.

"Kami juga berharap untuk mengoptimumkan titik jualan unit GSC dalam usaha meningkatkan teknologi dan aset yang akan membolehkan kami menyampaikan pengalaman pawagam yang lebih diperkayakan," katanya.

Setakat ini, GSC mempunyai sejumlah 343 layar perak di 34 lokasi di Malaysia.

PPB Group juga sedang mengkaji bagi memperluaskan perkhidmatan makanan dan minuman GSC sebagai sebahagian daripada inisiatif kepelbagaian pendapatannya dengan pengenalan Happy Food Co, sebuah kafe yang akan diwujudkan di pawagam GSC terpilih.

"Kafe pertama dijangka dilancarkan di Southkey, Johor Bahru menjelang separuh kedua 2021," tambah Koh.

– BERNAMA

TAG: PPB Group Bhd, Golden Screen Cinema, MBO Cinemas, Pengambilalihan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 3:39 PM