MUSTAPA Mohamed. - FOTO Rohanis Shukri
MUSTAPA Mohamed. - FOTO Rohanis Shukri

SASARAN utama Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di bandar dan desa serta antara generasi muda dan tua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini penting memandangkan pandemik Covid-19 menimbulkan kesedaran mengenai keperluan bagi menyegerakan aspek penerimagunaan teknologi digital yang berupaya membantu melindungi rakyat daripada risiko ekonomi digital.

"Kita dijangka dapat melihat perubahan landskap ekonomi digital ke arah peningkatan literasi digital, kewujudan pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi.

"Tidak ketinggalan, aspek pengurusan perbankan dan kewangan yang lebih mudah dan teratur, akses yang lebih baik bagi pendidikan secara maya kepada anak kita serta kemudahan mobilisasi perubatan ke pekan terpencil," katanya dalam kenyataan mengenai '10 Soalan Mengenai Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang dikeluarkan semalam.

Rangka Tindakan yang menggariskan usaha dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari lalu selain menetapkan trajektori sumbangan ekonomi digital kepada ekonomi Malaysia serta membina asas memacu pendigitalan di seluruh negara termasuk merapatkan jurang digital.

Selain itu, Mustapa turut berkongsi contoh bagaimana perniagaan masa kini tidak lagi memerlukan aspek seperti penyewaan kedai yang sebaliknya diusahakan secara digital menerusi dalam talian di platform media sosial Facebook, Instagram atau WhatsApp dan turut merangkumi promosi produk atau perkhidmatan.

"Seluruh rantaian bekalan ini dapat bergerak secara digital sepenuhnya. (Sehubungan itu) Rangka Tindakan Ekonomi Digital ini adalah untuk rakyat dan segala yang digariskan dalam dokumen ini memberi penekanan kepada nilai berpaksikan kemanusiaan yang akan memanfaatkan semua, tidak kira masyarakat, perniagaan mahupun kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, Mustapa menggesa agar semua rakyat negara ini bertindak merebut serta memanfaatkan sebaik-baiknya ruang dan peluang dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital berkenaan.

"Hakikatnya, kita tiada pilihan selain menerima dan menggunapakai teknologi digital. Baik kerajaan, perniagaan mahupun setiap rakyat tanpa mengira apa juga demografi dan latar belakang, perlu memanfaatkan teknologi digital dalam segenap aspek kehidupan," katanya.

Malah, beliau menegaskan, kegagalan berbuat demikian akan meyebabkan rakyat ketinggalan manakala negara tidak mampu mencapai matlamat sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggung jawab serta mampan.

Pada masa sama, Mustapa juga mengalu-alukan pandangan dan maklum balas daripada semua pihak mengenai Rangka Tindakan Ekonomi Digital itu dan segala perancangan dan strateginya.

Menurutnya, ini penting kerana pandangan serta maklum balas daripada semua pihak akan membantu memastikan kejayaan pelaksanaan rangka tindakan itu berserta aspirasi MyDIGITAL.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:15 AM