WAN Junaidi (kiri) dan Noh ketika sidang media selepas menyaksikan Majlis Penyerahan MoU. FOTO Mohd Fadli Hamzah
WAN Junaidi (kiri) dan Noh ketika sidang media selepas menyaksikan Majlis Penyerahan MoU. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Bisnes HM


Putrajaya: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan memperkenalkan skim pembiayaan baharu untuk individu diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19 dan berhasrat memulakan perniagaan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, skim dengan peruntukan sebanyak RM50 juta itu akan membantu mereka yang terjejas dengan pembiayaan minimum RM50,000 untuk memulakan perniagaan.

"Skim itu berbeza daripada Bumiputera Relief Financing (BRF) sebelum ini yang menumpukan pembiayaan kepada syarikat terjejas.

"Ia akan dilancarkan dalam masa terdekat dan perinciannya diumumkan kemudian," katanya selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara tujuh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dengan PUNB di sini, hari ini.

Agensi yang terbabit ialah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Bank Rakyat, SME Bank, UDA Holdings, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Mengenai MoU itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia adalah sinergi dalam usaha mewujudkan ekosistem perniagaan kondusif bagi menjana sosio-ekonomi Bumiputera yang lebih berdaya saing.

Beliau berkata, antara skop kerjasama dalam MoU ini ialah tawaran pembiayaan perniagaan, perkongsian idea, peluang perniagaan, kemudahan fasiliti dan promosi perniagaan.

"Saya yakin sinergi ini dapat melahirkan 100 jutawan setiap tahun dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hasil kerjasama Medac dan PUNB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 7:13 PM