Perkhidmatan Pandu Ambil membolehkan pelanggan untuk membuat pesanan bawa pulang tanpa perlu keluar dari kenderaan - FOTO Domino's
Perkhidmatan Pandu Ambil membolehkan pelanggan untuk membuat pesanan bawa pulang tanpa perlu keluar dari kenderaan - FOTO Domino's
Suliati Asri

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan faktor keselamatan makanan sentiasa diutamakan, Domino's Pizza telah menambah baik perkhidmatannya selaku penyedia perkhidmatan makanan pertama yang melaksanakan penghantaran tanpa sentuhan atau 'Zero Contact Delivery' secara mandatori selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.

Domino's Pizza juga merupakan Quick Service Restaurants (QSR) pertama yang memperkenalkan perkhidmatan Pandu Ambil bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan sepanjang pandemik ini.

Perkhidmatan Pandu Ambil membolehkan pelanggan untuk membuat pesanan bawa pulang tanpa perlu keluar dari kenderaan mahupun membazir masa untuk mencari parkir kerana pesanan yang telah dibuat akan dihantar terus dari dapur ke kenderaan pelanggan dan semua perkhidmatan dijalankan 100 peratus tanpa sentuhan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Domino's Pizza Malaysia, Shamsul Amree, berkata, walaupun perkhidmatan 'Zero Contact Delivery' dan Pandu Ambil ini sangat relevan dilaksanakan sepanjang pandemik, usaha itu sebenarnya sudah dirancang lebih awal sebagai sebahagian daripada peningkatan perkhidmatan Domino's kepada pelanggan. 

Menurutnya, beliau gembira dapat menyaksikan perancangan masa depan yang terbukti membuahkan hasil, tepat pada masanya dan berkesan terutama ketika menghadapi situasi pada masa kini.

"Perkhidmatan berasaskan teknologi adalah penting untuk memberikan pelanggan pengalaman yang melangkaui titik sentuh dan ini digambarkan dengan jelas menerusi perkhidmatan Pandu Ambil.

"Ia juga direalisasikan melalui integrasi canggih pengaturcaraan belakang tabir sekali gus membolehkan Domino's meningkatkan keupayaan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada berjuta pelanggan di seluruh Malaysia," katanya.

Sejak mula beroperasi di Malaysia lebih dari 20 tahun lalu, Domino's sememangnya  memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan.

Bagaimanapun kata Shamsul Amree, sejak penularan Covid-19 ini, pihaknya telah meningkatkan lagi standard keselamatan dan pengawasan secara lebih ketat di seluruh operasi Domino's.

"Penekanan kepada rantaian nilai bersepadu membolehkan Domino's Pizza mengawal kualiti dan keselamatan bermula daripada sumber bahannya, penyediaan serta penghantaran makanan.

"Kakitangan kami juga dilatih mengendalikan makanan pelanggan mengikut standard tinggi dan ia merangkumi semua kakitangan iaitu Abang dan Kakak Domino's, dari pembuat piza, kakitangan dapur, kakitangan restoran sehinggalah ke Abang Domino's yang menghantar piza.

"Kami juga pastinya sudah meningkatkan usaha bagi memastikan keselamatan dan kebersihan yang ketat dilaksanakan dan diamalkan di seluruh operasi kami," katanya.

Infrastruktur teknologi canggih Domino's adalah asas kepada kepantasan dan kemudahan perkhidmatannya sekali gus membolehkan pelanggan menerima pesanan piza panas dalam tempoh 20 ke 23 minit selepas pesanan dibuat.

Setiap piza juga dibuat mengikut pesanan dan dibakar dengan sempurna pada suhu 235 darjah Celsius, kemudiannya dipindahkan dari ketuhar menggunakan alatan yang sudah disanitasi dan terus ke dalam kotak piza secara 'Zero Hand Contact'.

'Tamper-Evident Seals' juga diletakkan di semua kotak piza, roti dan beg foil untuk memberi jaminan penyediaan makanan yang selamat.

Shamsul Amree berkata, keselamatan dan keselesaan pelanggan terus menjadi keutamaan, bertepatan dengan janji Domino's Pizza, "Count on Domino's".

"Budaya Domino's adalah 100 peratus bertumpukan pelanggan. Jadi, keperluan pelanggan mendorong kami untuk memperbaiki perkhidmatan dan terus menjadi matlamat perniagaan ini.

"Sebagai syarikat penghantaran pizza yang terkemuka, kami terus memenuhi keperluan pelanggan dan mendahului trend bagi meneruskan usaha untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan diluar jangkaan mereka, "katanya.

Domino's Pizza juga membuat ikrar Count on Domino's yang terdiri daripada langkah keselamatan dan kebersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 3:17 PM