PEKERJA swasta, Ariq Saqif melihat laman sesawang KWSP selepas KWSP mengumumkan dividen bagi tahun 2020.
PEKERJA swasta, Ariq Saqif melihat laman sesawang KWSP selepas KWSP mengumumkan dividen bagi tahun 2020.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka tidak berdepan masalah dana untuk dijadikan pusingan modal sebagai pelaburan meskipun selepas dana disalurkan untuk i-Sinar tanpa syarat yang dianggarkan mencecah sehingga RM108 bilion.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jangkaan itu bersandarkan kepada beberapa faktor termasuk kadar caruman ahli yang sentiasa meningkat setiap tahun membolehkan KWSP menerima caruman melebihi RM70 bilion setiap tahun.

Katanya, secara teknikalnya, kadar dividen yang sedikit rendah pada 2020 meskipun KWSP meraih pendapatan kasar RM60.98 bilion, angka tertinggi setakat ini dilihat sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan.

"Pada tahun 2019, pendapatan pelaburan kasar adalah RM50.29 bilion daripada aset pelaburan RM924.75 bilion yang memberi pulangan 5.4 peratus. Pada tahun 2020, pendapatan pelaburan kasar adalah RM60.98 bilion daripada RM998 bilion yang memberi pulangan 6.11 peratus.

"Ini bermakna pulangan pelaburan 2020 adalah lebih tinggi daripada 2019. Tetapi kadar dividen sedikit rendah adalah kerana KWSP mahu memastikan bahawa KWSP mampu memberi pulangan yang kekal kompetitif setiap tahun demi memastikan matlamat utamanya iaitu menyediakan wang persaraan yang cukup untuk ahlinya tercapai.

"Selain itu, saya melihat KWSP juga mahu membuat persediaan untuk menghadapi kemungkinan menyediakan lebih banyak kecairan untuk program pengeluaran i-Sinar tanpa syarat. Justeru, lebihan RM13.34 bilion daripada pendapatan kasar disimpan untuk tujuan itu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, KWSP juga memperuntukkan sebanyak tujuh peratus daripada jumlah pelaburan untuk instrumen pasaran wang yang lebih cair dan ia berjumlah hampir RM70 bilion.

"Jika ditambah dengan lebihan pendapatan sebanyak RM13.34 bilion itu, KWSP mempunyai dana yang cukup untuk menampung pengeluaran di bawah i-Sinar tanpa syarat.

"Saya tidak melihat bukan semua pencarum akan mengeluarkan duit dari i-Sinar, justeru, oleh itu jangkaan RM108 bilion mungkin terlalu tinggi," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengeluaran Akaun 1 tanpa syarat berkemungkinan akan memberi impak kepada prestasi pelaburan disebabkan KWSP perlu memegang aset yang mudah cair seperti instrumen pasaran wang.

"Aset yang mudah cair dan mempunyai kecairan kebiasaannya mempunyai pulangan yang rendah disebabkan risikonya yang rendah.

"Perkara ini sememangnya sinonim dengan hukum alam pelaburan iaitu high risk, high return. Keperluan untuk memegang aset yang cair adalah bagi memudahkan pihak KWSP memenuhi permintaan pengeluaran pencarum," katanya.

Sabtu lalu, KWSP mengumumkan dividen tahun 2020 sebanyak 5.2 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.9 peratus untuk Simpanan Shariah.

Kadar dividen yang diumumkan dana persaraan nasional itu akan membabitkan agihan keseluruhan RM47.64 bilion merangkumi Simpanan Konvensional berjumlah RM42.88 bilion dan Simpanan Shariah dengan RM4.76 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 7:01 AM