GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatat kerugian bersih sebanyak RM1.11 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember, 2020 (TK20) berbanding keuntungan bersih RM537.04 juta pada tahun sebelumnya.

Perolehan hasil turut berkurangan kepada RM1.87 bilion pada TK20 berbanding RM5.21 bilion sebelum ini susulan impak global pandemik Covid-19 selain pelaksanaan sekatan pergerakan yang berlanjutan di Malaysia serta luar negara.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, pada Jumaat, pengendali lapangan terbang itu berkata, hasil operasi lapangan terbang merosot sebanyak 83.2 peratus tahun ke tahun kepada RM215.2 juta bagi tempoh suku keempat 2020, manakala sumbangan hasil segmen aeronautikal juga susut sebanyak 85.2 peratus tahun ke tahun kepada RM109.7 juta.

Selain itu, hasil yang diraih oleh segmen bukan aeronautikal berkurangan sebanyak 80.6 peratus tahun ke tahun kepada RM105.5 juta, terutamanya disebabkan oleh rebat sewaan yang dijadikan sebahagian daripada program bantuan untuk penyewa dan syarikat penerbangan.

Perolehan hasil operasi bukan lapangan terbang pula berkurangan sebanyak 20.8 peratus atau RM12.7 juta berikutan penyusutan hasil daripada perniagaan perhotelannya.

MAHB yang turut mengendalikan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Turki berkata, aliran trafik penumpang bagi operasi di Malaysia mencatat kemerosotan sebanyak sebanyak 92.3 peratus tahun ke tahun kepada sejumlah 2.1 juta penumpang manakala trafik penumpang bagi operasi di Turki susut 47.2 peratus kepada 4.7 juta penumpang.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata syarikat itu telah mengekalkan kecemerlangan operasi sepanjang tahun lepas walaupun melaksanakan langkah-langkah pengawal kos secara ketara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 6:16 PM