FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: China terus kekal menjadi pelabur asing terbesar di Malaysia terutama dalam sektor pembuatan dengan nilai pelaburan dianggarkan mencecah RM43.6 bilion sejak 2016.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Promosi Pelaburan Asing Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), May Lim Ming Yee berkata, China juga berada di kedudukan teratas bagi pelaburan langsung asing (FDI) untuk sektor pembuatan di Malaysia sepanjang sembilan bulan 2020.

Katanya, dari Januari hingga September 2020, Mida meluluskan 58 projek pembuatan dengan China membabitkan jumlah sebanyak RM16.77 bilion.

"Biarpun berdepan dengan impak pandemik Covid-19 di peringkat global, China dilihat tetap menjadi antara FDI terbanyak di Malaysia.

"Sejak empat tahun lalu, Mida meluluskan sebanyak 172 projek dengan nilai pelaburan RM43.6 bilion.

"Malah menerusi pelaburan itu ia berjaya menyediakan lebih 40,000 peluang pekerjaan," katanya pada webinar Mida secara maya di sini, semalam.

Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Promosi Pelaburan Asing Mida, Por Yee Yun.

May berkata, sepanjang tahun ini menerusi Belanjawan 2021, pelbagai insentif cukai menarik diperkenalkan dalam menjadikan Malaysia pilihan utama pelabur asing.

Menurutnya, Malaysia juga memiliki kelebihan kompetitif berbanding negara lain antaranya sebagai hab teknologi canggih, pintu gerbang pasaran Asean dan pelaburan terjamin.

Selain itu, dengan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) membabitkan 15 negara anggota yang menjadi perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar disertai Malaysia dijangka mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dengan China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 8:15 AM