TENGKU Zafrul meluangkan masa turun padang melakukan lawatan di sekatan jalan raya Jalan Kuching untuk melihat sendiri tugas kawalan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
TENGKU Zafrul meluangkan masa turun padang melakukan lawatan di sekatan jalan raya Jalan Kuching untuk melihat sendiri tugas kawalan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kuala Lumpur: Sekatan pergerakan yang ketat akan menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau lebih 900,000 perniagaan di seluruh negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sektor PKS membentuk tunjang ekonomi negara, menggaji lebih daripada tujuh juta rakyat Malaysia dan menyumbang hampir 40 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Lebih daripada 70 peratus PKS mencatatkan kerugian pada tahun lalu. Sudah tentu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyeluruh dan ketat akan memberi kesan negatif kepada sektor PKS, merangkumi lebih daripada 900,000 perniagaan di seluruh negara.

"Dalam jumlah ini termasuk pengusaha perniagaan kecil serta mikro apabila mata pencarian akan terjejas walaupun ditutup sehari, apatah lagi penutupan selama 14 hari?" katanya dalam ucapan pada Bursa Malaysia Forum yang bertemakan Menang Bersama: Bersama Membangun Semula Ekonomi Malaysia, semalam.

Menurutnya, negara pernah melalui PKP yang penuh atau PKP 1.0 pada Mac tahun lalu antara yang paling ketat mengikut kajian global.

"Kita tahu ia memberi implikasi kewangan sebanyak RM2.4 bilion setiap hari, selain tekanan mental dan emosi kepada jutaan rakyat akibat terkurung di rumah bagi jangka lama.

"Kes keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak turut menunjukkan peningkatan ketika tempoh PKP itu.

"Ia juga menyebabkan pengangguran meningkat sehingga 5.3 peratus pada Mei tahun lalu. Oleh sebab itu, KDNK suku kedua tahun 2020 menguncup 17.2 peratus yang terburuk di antara negara Asean.

"Bagi kerajaan, menentukan definisi sebenar PKP yang perlu dilaksanakan bukan perkara mudah. Kini, terdapat pelbagai perbahasan mengenai sama ada wajar bagi negara untuk kembali kepada PKP menyeluruh.

"Mereka yang menyokong usul mengetatkan kawal pergerakan berasakan ia penting untuk memutuskan rantaian jangkitan dan menyelamatkan nyawa.

"Manakala mereka yang membantah pula berpendapat impak ekonomi akan menjadi lebih teruk susulan sekatan yang lebih tegas, jauh melebihi manfaat yang mungkin dicapai oleh pengekangan penularan virus itu," katanya.

Tengku Zafrul berkata, mengimbangi keperluan untuk melindungi nyawa dan sumber mata pencarian rakyat satu perkara yang mencabar.

"Kita perlu sedar terdapat kemudaratan yang sukar dijangka. Ekonomi negara tidak beroperasi seperti petikan suis. Ia tidak boleh 'ditutup dan 'dibuka' mengikut kehendak kita.

"Kita juga perlu sedar semua jenis pekerjaan penting kerana ia membantu rakyat bukan saja untuk mencari rezeki dan tempat berteduh, tetapi yang paling penting memberi tujuan hidup dan kehidupan yang bermaruah untuk kita semua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:00 AM