Hingga kini realme melangkaui pencapaian hingga 50 juta penjualan.
Hingga kini realme melangkaui pencapaian hingga 50 juta penjualan.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pengeluar telefon pintar realme menerima pengiktirafan sebagai jenama telefon pintar antarabangsa paling pesat berkembang di dunia bagi 2020.

Jenama ini melonjak berbanding syarikat gergasi industri yang lain, sekali gus mengambil kedudukan ketujuh dari segi penguasaan pasaran global.

Syarikat penyelidikan Counterpoint mengumumkan pencapaian ini dalam laporan suku keempat 2020 telefon pintar terbaharunya di mana realme berkembang 65 peratus tahun ke tahun dan mengedarkan 42.4 juta telefon pintar, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (Global) realme, Sky Li berkata, hingga kini realme melangkaui pencapaian 50 juta penjualannya hanya dalam sembilan suku sejak ditubuhkan menjadikannya jenama telefon pintar paling cepat berkembang di dunia.

"Sebaik sahaja negara mula mengehadkan pergerakan, kami meningkatkan perkhidmatan selepas jualan seperti lanjutan jaminan, sokongan dalam talian secara langsung dan masa menunggu dan penghantaran yang lebih pendek untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan yang tinggi kepada pengguna realme.

"Pada hakikatnya, kami menerapkan falsafah kami, iaitu berani memasuki barisan hadapan inovasi, reka bentuk dan nilai produk, sesuatu yang dekat dengan golongan muda," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, realme kini menjadi tumpuan utama dalam industri telefon pintar kerana menggunakan kaedah inovatif dari aspek pengguna dan produk untuk meningkatkan bahagian pasarannya secara agresif.

Beliau berkata, dalam persekitaran ekonomi yang tidak stabil dan hampir semua peneraju industri utama mengalami kerugian, realme adalah satu-satunya jenama telefon pintar utama yang mencatatkan pertumbuhan sepanjang 2020.

"Awal tahun 2020 bermula dengan jualan di 35 pasaran aktif dan realme merekodkan pertumbuhan 100 peratus, kini melonjak ke 61 pasaran aktif pada akhir 2020.

"realme juga sudah meluaskan pangkalan penggunanya sebanyak 100 peratus, dari 25 juta hingga sekarang lebih 50 juta pengguna di seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 7:01 AM