Ian
Ian

Kuala Lumpur: Shopee mencatat permintaan yang memberangsangkan untuk gajet teknologi pembelajaran dan bekerja dari rumah dalam tempoh 11 hingga 15 Januari lalu, bertepatan dengan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila lebih 550,000 unit terjual.

Pengarah Urusan Serantau, Ian Ho berkata, platform e-dagang itu menyedaripada penjualan item seperti komputer riba, telefon pintar, tablet, komponen rangkaian, papan kekunci, pencetak dan sistem audio melonjak empat setengah kali ganda dalam tempoh lima hari itu berbanding tempoh sama ketika PKP pertama tahun lalu.

"Sejak sesi pembelajaran dalam talian bermula pada pertengahan tahun lalu, kami melihat gajet teknologi pengguna yang sesuai untuk pembelajaran di rumah atau bekerja dari rumah amat laris. Permintaan untuk PC dan gajet untuk e-pembelajaran meningkat secara mendadak.

"Pada Jualan Hebat 12.12 pada 12 Disember tahun lalu, kami dapati lapan daripada 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang terbaik adalah peruncit elektronik yang mencatatkan penjualan purata melebihi RM800,000 setiap satu," katanya, semalam.

Ian berkata, ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak di sekolah untuk sesi e-pembelajaran boleh mendapatkan tawaran secara bundle atau add-on mengikut jenama dan peruncit di platform masing-masing bagi menikmat lebih banyak penjimatan.

"Terdapat juga penjual semula yang boleh dipercayai di platform kami yang menjual komputer riba terpakai dan diperbaharui dengan harga bermula dari RM325 sekiranya ibu bapa memerlukan lebih daripada satu komputer riba untuk anak-anak mereka dan mempunyai sumber yang terhad," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Danny Lee berkata, pertubuhan itu menyaksikan permintaan untuk gajet teknologi meningkat dari semasa ke semasa kerana keperluan untuk penggunaan peranti itu di rumah kian mendesak sejak bermulanya fasa bekerja dari rumah dan sesi pembelajaran dalam talian.

"Kerajaan juga mungkin mempertimbang untuk menawarkan bentuk insentif lain bagi menggalakkan lagi penggunaan dan pembelian produk teknologi seperti penepian Cukai Jualan dan Perkhidmatan, Internet percuma, subsidi atau bahkan melaksanakan program 1 Komputer riba 1 Keluarga," katanya.

Katanya, terdapat beberapa jenama di pasaran yang menawarkan potongan harga untuk komputer riba dan komputer meja, terutama dalam tempoh ini ketika tahun persekolahan baharu bermula.

"Pada masa sama, syarikat telekomunikasi juga menawarkan promosi hebat dalam pakej Internet sejak beberapa bulan ini dan mereka akan terus berbuat demikian. Penawaran data 1GB percuma juga diperluas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 7:00 AM