DR Wan Junaidi berkata, latihan akan tertumpu pada kemahiran.
DR Wan Junaidi berkata, latihan akan tertumpu pada kemahiran.

THE Asia Foundation dengan sokongan geran bernilai AS$3.3 juta (RM13.36 juta) daripada Google.org akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Penyelaras Asean Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) untuk melatih lebih 200,000 orang dari kawasan luar bandar dan masyarakat kurang berkemampuan.

  Rakan pelaksana terpilih di Malaysia, International Youth Center dan Startup Malaysia akan menggunakan sebahagian daripada dana itu untuk menghasilkan modul latihan literasi digital dengan tujuan melatih 15,000 belia, pengusaha mikro dan PKS dengan 50 peratus daripadanya wanita.

   Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, latihan akan tertumpu pada kemahiran seperti membuat profil dalam talian di platform rangkaian profesional, menjalankan perniagaan dalam talian melalui media sosial dan menggunakan portal pekerjaan untuk meningkatkan kebolehkerjaan.

"Kerjasama antara ACCMSME dan The Asia Foundation, dengan sokongan Google.org, menyumbang kepada pengembangan kapasiti perusahaan Asean dalam digitalisasi dan akan membantu mewujudkan integrasi digital rantau ini seperti diharapkan oleh Asean Digital Intergration Framework (DIF).

  "Menurut hasil tinjauan pasca-Covid-19 yang dilakukan Medac pada Ogos 2020, lebih banyak yang perlu dilakukan oleh PKS dari segi usaha digitalisasi agar Malaysia menjadi sebahagian daripada ekonomi digital yang sedang berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 7:10 AM