AZIZAH (kanan)  menyaksikan pertukaran  dokumen perjanjian di antara MARA dan Shopee  yang diwakili Zulfikri (dua kanan)  dengan Tan. FOTO Aizuddin Saad
AZIZAH (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara MARA dan Shopee yang diwakili Zulfikri (dua kanan) dengan Tan. FOTO Aizuddin Saad
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Selaras usaha memperkasa usahawan Bumiputera dengan pendigitalan dalam perniagaan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memeterai kerjasama dengan platform e-dagang Shopee bagi merancakkan ekonomi kumpulan itu menerusi jualan secara dalam talian.

Melalui memorandum persefahaman (MoU) antara MARA dan Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd (Shopee Malaysia), kempen Jana NIAGA MARA Shopee dilaksanakan bermula awal bulan lalu yang menyediakan peluang buat usahawan menjual produk masing-masing di laman e-dagang berkenaan.

Pengerusi MARA Datuk Azizah Mohd Dun berkata, seramai 280 usahawan dibantu bukan saja untuk peluang niaga malah latihan, geran pembangunan dan kemudahan pembiayaan turut disediakan.

Jelas beliau, berbanding 5,000 SKU (stock keeping unit) produk disasar dipasarkan menerusi platform itu pada peringkat awal, kempen terbabit ternyata berhasil menawarkan lebih 20,000 SKU di Shopee setakat ini.

"Agak membanggakan apabila dalam tempoh sebulan berada di Shopee, semua usahawan ini berjaya merekodkan jualan terkumpul lebih RM200,000. "MARA menjangka kempen ini memberi peningkatan antara 15 hingga 20 peratus kepada pendapatan usahawan, malah mungkin lebih tinggi menerusi pelbagai inisiatif berterusan dibawah kempen.

"Latihan pemasaran di Shopee bukan saja dikendali MARA, malah Shopee melaksanakan latihan seumpamanya dalam memastikan usahawan Jana NIAGA MARA Shopee dibantu sebagai mana sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemeteraian MoU terbabit oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Datuk Zulfikri Osman dan Ketua Pemasaran Shopee Malaysia Tan Ming Kit di ibu negara, semalam.

Tambah Azizah, walaupun MoU dimeterai untuk tempoh setahun, pihaknya sedia mempertimbang untuk melanjutkannya jika wujud keperluan.

"Setakat ini perkembangan baik direkodkan usahawan yang menyertai kempen ini dan kita mahu lebih ramai usahawan dibantu untuk memperluas pasaran produk mereka," katanya.

Sementara itu, Tan berkata, sekurang-kurangnya 490 usahawan MARA disasar dibantu bagi fasa pertama kempen itu.

"Seramai 280 usahawan memulakan perjalanan mereka di Shopee bulan lalu dan kita kenal pasti 210 lagi untuk dibawa masuk ke Shopee dalam tempoh terdekat," katanya.

Sebelum majlis menandatangani MoU itu, Datuk Azizah turut hadir melancarkan program e-Jana Niaga iaitu program keusahawanan secara dalam talian merangkumi aktiviti jualan, pameran dan seminar keusahawanan pada 18 dan 19 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 10:45 AM