ALEXANDER Nanta Linggi
ALEXANDER Nanta Linggi
BERNAMA

Kuala Lumpur: INDUSTRI jualan langsung di Malaysia mampu mencecah RM20 bilion menjelang akhir tahun ini walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, industri jualan langsung pada tahun ini mencatatkan nilai jualan RM17.8 bilion sehingga September 2020.

Katanya nilai jualan industri jualan langsung dicatatkan RM15.9 bilion pada 2018 dan RM17 bilion pada 2019.

Di Malaysia, katanya sektor jualan langsung mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan hingga berkembang menjadi satu industri besar yang menyumbang kepada ekonomi domestik negara.

"Ini diyakini berupaya membantu usaha kerajaan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi domestik negara susulan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Nanta, Malaysia berada pada kedudukan ketujuh di peringkat global dan tempat keempat di Asia Pasifik dari segi rekod nilai jualan dalam Laporan Jualan Peruncitan Jualan Langsung Global 2019 - Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Dunia (WFDSA).

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berbangga dengan pencapaian itu dan komited untuk menyokong pertumbuhan sektor berkenaan dengan mengadaptasi perubahan trend perniagaan dan perdagangan norma baharu di negara ini.

"Keutamaan KPDNHEP membantu memudahkan aktiviti perniagaan di negara ini, sekali gus memastikan operasi perniagaan dapat dijalankan secara lebih cekap dan berkesan," katanya.

Ini termasuk memudahkan proses memperbaharui Lesen Jualan Langsung tanpa mengenepikan aspek pematuhan syarat dan peraturan yang termaktub di bawah Akta Jualan Langsung, katanya.

Nanta berkata KPDNHEP mengambil maklum mengenai beberapa perkara berbangkit yang dikemukakan Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) termasuk cadangan pindaan Akta Jualan Langsung dan Akta Skim Piramid 1993, selain isu penjualan produk jualan langsung secara tidak sah dalam talian.

"Ini sedang diperhalusi di peringkat kementerian, malah turut membabitkan kerjasama pemain industri jualan langsung dan penyedia perkhidmatan e-dagang bagi mencari solusi terbaik berhubung perkara itu," katanya.

Nanta berkata KPDNHEP juga sedang memformulasikan Pelan Industri Jualan Langsung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), khusus bagi merangka hala tuju strategik industri itu ke arah menyumbang kepada pemerkasaan sosio-ekonomi negara.

"Ini seiring dengan keupayaan industri jualan langsung yang menyumbang kepada usaha pengukuhan ekonomi negara, selain kepentingannya dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 7:15 AM