AZIZAH Mohd . FOTO arkib NSTP
AZIZAH Mohd . FOTO arkib NSTP
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Penyaluran pembiayaan menerusi Skim Pembiayaan Perniagaan DanaNITA ternyata membawa impak positif apabila peningkatan jualan antara 30 hingga 40 peratus berjaya direkodkan usahawan wanita yang dibiayai menerusi skim itu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Azizah Mohd Dun berkata, skim pembiayaan diperkenalkan MARA pada 2017 itu sebahagian inisiatif pihaknya ke arah memperhebat penyertaan wanita dalam aktiviti keusahawanan. Jelas beliau, selain memperkasa usahawan wanita sedia ada, skim ini turut menyasarkan peningkatan pendapatan isi rumah, ia juga menjadi landasan kejayaan kepada golongan terbabit untuk terus bersemangat dan bercita-cita tinggi dalam perniagaan masing-masing. "Selama empat tahun sejak mula dilaksanakan pada awal 2017, MARA sudah meluluskan pembiayaan berjumlah RM71.8 juta dibawah skim DanaNITA yang memberi manfaat kepada lebih 1,500 usahawan wanita khususnya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). "Berdasarkan maklum balas dan rekod yang kami terima daripada usahawan yang dibiayai, prestasi jualan mereka meningkat selepas terima pembiayaan ini dengan sebilangan besarnya kini memperoleh pendapatan melebihi RM20,000 sebulan," katanya. Melalui DanaNITA, MARA menawarkan pembiayaan pada had maksimum sebanyak RM50,000 khusus untuk usahawan wanita berumur antara 18 hingga 60 tahun dengan berkonsepkan pembiayaan patuh syariah.Katanya, istimewanya DanaNITA adalah penerima pembiayaan dikecualikan daripada beberapa syarat asas yang dikenakan dalam skim pembiayaan lain antaranya tidak perlu menduduki ujian psikometrik selain tidak wajib buka akaun semasa. "Dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita, MARA turut menyediakan pakej latihan dan merangka program keusahawanan khusus seperti AORA SPA, Super Baker, Beauty In Business dan sebagainya. "Melalui latihan ini, usahawan akan didedahkan dengan pelbagai aspek membabitkan pembangunan perniagaan termasuk pentadbiran, pengurusan sumber manusia, pemasaran, pengurusan kewangan dan pendedahan secara terus bersama pemain industri. "Tidak terkecuali premis perniagaan yang kondusif ditawarkan MARA pada harga lebih rendah berbanding pasaran dan tentunya kemudahan ini harus dimanfaatkan usahawan wanita terutama bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan. "Buat masa ini, MARA mempunyai lebih 6,000 lot ruang niaga yang sudah pun disewakan dengan 35 peratus daripadanya adalah penyewa wanita," katanya. Azizah berkata, MARA menyambut baik pengumuman kerajaan melalui Belanjawan 2021 yang memperuntukkan dana khas membantu usahawan wanita terus melestarikan perniagaan. "Dengan peruntukan RM25 juta, MARA menyasar 500 usahawan wanita akan menerima manfaat daripada penyaluran dana ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 7:13 PM