ISKANDAR Mizal
ISKANDAR Mizal

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM11.8 juta untuk suku ketiga 2020 (3QFY20), memperbaiki catatan kerugian selepas cukai (LAT) berjumlah RM25.6 juta bagi suku sama tahun lalu (3QFY19).

Perolehan meningkat sebanyak 1.0 peratus kepada RM268.8 juta bagi 3QFY20, berbanding RM265.5 juta bagi 3QFY19 meskipun berdepan landskap ekonomi yang lebih sukar susulan kesan pandemik global.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2020 (9MFY20), perolehan kumpulan berjaya dipertahankan dan hanya menyusut 7.0 peratus kepada RM743.5 juta berbanding RM801.4 juta yang dicatatkan tahun lalu (9MFY19).

Malah, LAT berkurang 54 peratus kepada RM36.2 juta pada 9MFY20 berbanding kerugian RM79.2 juta bagi tempoh perbandingan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kumpulan membuat beberapa keputusan strategik bagi memacu fasa tranformasi perniagaan Media Prima yang seterusnya.

"Walaupun berhadapan cabaran semasa pandemik, populariti WOWSHOP membantu kami untuk berjaya seperti pencapaian yang dicatatkannya pada suku ini.

"Pencapaian WOWSHOP yang mantap mengesahkan lagi keputusan kami untuk memiliki sepenuhnya perniagaan berkenaan.

"Ia juga mengesahkan betapa pentingnya Media Prima kepada pelanggan kami ketika pandemik Covid-19, bukan saja untuk keperluan perdagangan, malah sebagai sumber untuk hiburan dan berita penting pada masa kita menjalani kehidupan norma baharu.

"Ini dapat dilihat melalui peningkatan penonton televisyen dan pengguna di keseluruhan jenama digital kami.

"Namun, kami menjangkakan kesan ekonomi akibat pandemik ini berterusan dan kami akan terus berusaha menerokai penyelesaian jangka panjang bagi mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran, di samping menyesuaikan perniagaan dan operasi kami dengan norma baharu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, impak pandemik Covid-19 dan seterusnya perintah kawalan pergerakan memberi kesan kepada perniagaan terutama perolehan periklanan, produksi dan ketersediaan bekalan kandungan.

"Saya berbangga dengan pasukan kami yang bersama-sama tampil dengan semangat kental untuk mencari kaedah yang kreatif dan berfikir di luar kotak bagi meneruskan operasi perniagaan dalam tempoh sukar ini.

"Disebabkan usaha gigih mereka, kumpulan berjaya untuk terus menyampai, memberi ilham, mengajar dan menghiburkan rakyat Malaysia ketika pandemik tanpa menjejaskan kualiti kandungan yang dipersembahkan.

"Walaupun ini masa yang amat sukar, ia juga adalah peringatan terhadap kewajipan kami kepada rakyat Malaysia sebagai kumpulan media bersepadu terbesar.

"Dengan skala kami, Media Prima berupaya membawa perubahan besar dan kesan positif kepada kehidupan mereka," katanya.

Menurutnya, ketika krisis, rakyat Malaysia bergantung kepada Media Prima di mana pembaca dan penonton mahukan sumber maklumat yang boleh dipercayai bagi mendapatkan perkembangan terkini dan panduan untuk kekal selamat.

"Di samping menyampaikan laporan berita yang bermakna sepanjang krisis, kami turut

melancarkan kempen derma Tabung Bantuan Kemanusiaan Covid-19 pada bulan Mac untuk membeli peralatan perubatan yang amat diperlukan oleh hospital-hospital kerajaan terpilih di seluruh negara.

"Bagi menaikkan semangat penonton ketika menghadapi pandemik ini, kami menyertai

inisiatif Super Stream Malaysia dengan menayangkan program drama dan komedi popular untuk jangka masa terhad di YouTube.

"Kejayaan dan kemampanan adalah penting dan kami akan terus menyampaikan kandungan yang relevan dan berkualiti, selain meningkatkan kecekapan operasi.

"Kami akan terus berusaha untuk memberikan nilai yang terbaik kepada semua pihak berkepentingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 7:59 AM