PROTON X50 antara model baharu keluaran Proton yang dinanti-nantikan pelanggan.
PROTON X50 antara model baharu keluaran Proton yang dinanti-nantikan pelanggan.

SYARIKAT automotif nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) meningkatkan momentum jualannya untuk bulan kelima berturut-turut, merekodkan jumlah jualan bertambah 20 peratus pada Oktober kepada 11,392 unit berbanding bulan yang sama pada 2019.

Dalam satu kenyataan semalam, jenama kereta tempatan itu berkata, syarikat bermula pada suku akhir tahun ini dengan kukuh, tetapi menurun 4.6 peratus berbanding September.

Syarikat automotif itu berkata, 84,999 unit dijual secara keseluruhan pada tahun ini, penambahan 6.2 peratus berbanding tahun lalu, pegangan pasaran dianggarkan mencapai 21.3 peratus.

Proton berkata, tiga model Proton masih lagi mendahului segmen pasaran iaitu Proton Persona, yang menghadapi sebilangan pesaing baharu, tetapi mendahului pasaran sedan segmen-B dengan 2,360 unit.

Proton X70 pula mencapai 2,216 unit untuk kekal sebagai SUV (kenderaan utiliti sukan) terlaris di Malaysia.

Syarikat itu berkata, Proton Exora juga kekal di hadapan pasaran MPV (kenderaan pelbagai guna) segmen-C, membuktikan pasaran kenderaan besar yang mempunyai tujuh tempat duduk masih ada, walaupun jualan SUV semakin bertambah.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, penambahan kadar pelancaran model baharu dan jumlah jualan Oktober antara tanda pemulihan pasaran automotif Malaysia dan menganggarkan jumlah pengeluaran keseluruhan industri (TIV) pada Oktober akan melebihi 57,000 unit, iaitu jumlah kedua tertinggi bagi tahun 2020.

"Ini adalah bukti ketara pemulihan industri. Proton amat bersyukur kerana jualan bulanan bertambah berbanding tahun lalu dan penambahan pula amat stabil, tetapi kami yakin boleh mencapai prestasi yang lebih tinggi.

"Kajian terhadap prestasi jualan secara terperinci menunjukkan jualan menurun secara mendadak di Malaysia timur, manakala di wilayah tengah pula tiada penambahan berbanding September.

"Ini dipercayai disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang mengurangkan pergerakan penduduk dan memberi kesan kepada jualan, tetapi mungkin juga kerana pelanggan menanti-nantikan pelancaran Proton X50, model Proton terbaharu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Proton yakin akan dapat mengakhiri tahun ini dengan pencapaian cemerlang supaya dapat mencapai matlamat yang lebih tinggi pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 6:59 AM