Khairul Anwar Salleh.
Khairul Anwar Salleh.
Bisnes HM


MEDIA Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios (PWS), Datuk Ahmad Izham Omar, akan meninggalkan Kumpulan untuk meneruskan cabaran-cabaran baharu.

Hari terakhir beliau bersama PWS adalah pada 13 November 2020.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, Izham telah banyak memberikan sumbangan kepada Media Prima.

"Beliau telah memberikan sumbangan besar kepada Media Prima dan industri kreatif selama berkhidmat bersama Kumpulan.

"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas jasanya kepada Kumpulan, dan beliau pasti akan dirindui oleh semua di sini. Kami mendoakan yang terbaik dalam perjalanan barunya," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh akan mengetuai PWS berkuat kuasa 14 November 2020, sebagai tambahan kepada peranannya sekarang.

Izham mula dibawa masuk ke Media Prima sempena pelancaran 8TV, yang mencatatkan kejayaan hebat dan seterusnya melancarkan banyak program hit seperti Malaysian Idol, Shout! Awards dan 8 E-News.

Beliau juga terbabit dalam penubuhan dan pelancaran Rangkaian Radio Media Prima (kini dikenali sebagai RIPPLE) dan melancarkan platform penstriman Media Prima, tonton.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PWS, beliau adalah Penerbit Eksekutif Ejen Ali The Movie iaitu filem animasi nombor satu sepanjang masa di Malaysia, dan nombor tiga untuk filem pecah panggung sepanjang masa di Malaysia.

Selain itu, beliau juga adalah Penerbit Eksekutif dan Penulis Skrip lakon layar bersama untuk filem Pulang, iaitu filem Netflix Original pertama Malaysia yang boleh ditonton di seluruh dunia.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 6:28 PM