DR Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.
DR Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Kuala Lumpur: Malaysia akan menerbitkan laporan pertama mengenai pelan tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang memperincikan kemajuan dan pencapaian rancangan itu pada Disember ini.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, laporan akan dikeluarkan setiap suku tahun.

"Jendela memberikan komitmen untuk mengeluarkan laporan setiap suku tahun seiring kemajuan yang dicapai.

"Ia secara tidak langsung membawa makna tekanan dapat diberikan kepada penyedia perkhidmatan dan agensi berkaitan yang meluluskan sebarang permohonan supaya negara dapat mencapai infrastuktur yang diperlukan dalam tempoh lebih pantas.

"Kami juga komited untuk membuat laporan secara suku tahunan supaya semua pihak dapat melihat prestasi kami sama ada berjaya mencapai apa yang disasarkan atau sebaliknya," katanya ketika berucap di Bengkel Maya Media Jendela 101, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Sektor Perkhidmatan Digital dan Piawaian, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, pihaknya mengakui bahawa pandemik Covid-19 mempengaruhi kemajuan Jendela.

Namun, katanya, pihak berkepentingan yang terbabit dalam usaha ini mencari alternatif untuk mengatasi kesannya dalam memastikan rancangan itu dilaksanakan dan dipercepat.

Jendela yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos lalu diperkenalkan bagi meningkatkan infrastruktur digital di negara ini bertujuan untuk mengatasi peningkatan keperluan untuk liputan jalur lebar tetap dan mudah alih yang lebih baik susulan wabak Covid-19.

Untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025), Jendela akan meletakkan dasar serta mempersiapkan negara untuk peralihan ke arah teknologi 5G.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 9:00 AM