INISIATIF secara khusus mengurangkan beban kewangan rakyat serta cabaran aliran tunai yang dihadapi perniagaan.
INISIATIF secara khusus mengurangkan beban kewangan rakyat serta cabaran aliran tunai yang dihadapi perniagaan.
Bisnes Metro

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menerusi agensi di bawahnya menerima 18,670 permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar bernilai RM6.704 bilion setakat 8 Oktober lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, daripada jumlah itu, 10,710 permohonan dengan nilai RM6.04 bilion atau 90.15 peratus diluluskan.

Bagaimanapun katanya, 5,422 permohonan dengan nilai RM622.34 juta atau 9.28 peratus ditolak atas beberapa sebab.

"Antara faktor permohonan ditolak kerana pendapatan pemohon tidak terjejas, pemohon gagal menyediakan bukti pendapatan terjejas, pembiayaan dalam penjadualan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta pembiayaan tertunggak melebihi 90 hari dan tiada sumber bayaran balik," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 1.7 peratus permohonan ditolak adalah daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan lagi 98.3 peratus adalah permohonan individu.

"Selain itu, baki permohonan 2,538 dengan nilai berjumlah RM41.4 juta atau 0.57 peratus masih dalam proses semakan dan pertimbangan agensi," katanya.

Wan Junaidi berkata, daripada keseluruhan permohonan, Bank Rakyat meluluskan 5,610 permohonan dengan nilai kelulusan RM1.17 bilion, SME Bank (3,087 permohonan, RM4.84 bilion), Tekun Nasional (1,999 permohonan, RM27.39 juta) dan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) membabitkan 14 projek bernilai RM3.95 juta.

Beliau berkata, agensi pembiaya di bawah Medac ialah Bank Rakyat, SME Bank, Tekun Nasional, PNS dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Sejajar pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin pada 29 Julai lalu, Medac menyahut seruan perdana menteri bagi lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar.

"Inisiatif ini secara khusus untuk mengurangkan beban kewangan rakyat serta cabaran aliran tunai yang dihadapi perniagaan susulan berakhirnya tempoh moratorium pada 30 September lalu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 8:00 AM