KERAJAAN turut memperuntukkan  RM50 juta bagi usahawan wanita.
KERAJAAN turut memperuntukkan RM50 juta bagi usahawan wanita.

USAHAWAN perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan kesukaran khususnya dalam era pandemik Covid-19 ini tidak perlu berputus asa sebaliknya mengambil peluang disediakan kerajaan untuk meneruskan operasi.

Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan menyediakan dana khususnya untuk PKS bernilai RM2 bilion dengan keutamaan kepada PKS yang belum pernah mendapat pinjaman dari bank sebelum ini.

Bagi usahawan Bumiputera, kerajaan menyediakan program pembiayaan RM500 juta yang disalurkan melalui dua agensi iaitu Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Di bawah agensi ini, kelayakan tertumpu kepada kegunaan dana bagi modal kerja, perbelanjaan operasi, automasi sistem serta peralatan dan perbelanjaan untuk melaksanakan SOP seperti amalan penjarakan fizikal dan kegunaan alat perlindungan diri.

Kemudahan pembiayaan dari RM100,000 sehingga RM1 juta bagi tempoh sehingga lima tahun pada kadar faedah 3.5 peratus setahun berserta moratorium sehingga enam bulan dari tarikh pengeluaran.

Selain PUNB, Mara turut memainkan peranan sama dengan menawarkan pinjaman modal kerja untuk membantu usahawan Bumiputera terjejas, termasuk sektor pendidikan swasta.

Had maksimum jumlah pinjaman adalah RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus setahun.

PKS mikro juga berpeluang mendapatkan pembiayaan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di bawah BSN Mikro/i Kredit Penjana.

Di bawah skim ini, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi usahanita.

Setakat 18 September lalu, RM55.31 juta disalurkan dan memanfaatkan 1,480 PKS dan PKS Mikro.

Selain BSN, kerajaan turut memberi peruntukan kepada Tekun Nasional melalui Skim Pemulihan Perniagaan Tekun yang menawarkan pembiayaan antara RM1,000 dan RM10,000.

Setakat 18 September, RM73.6 juta disalurkan dan memanfaatkan 11,059 PKS Mikro.

Bagi menggalakkan PKS beralih ke platform digital, kerajaan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan rakan e-dagang, turut membiayai kemudahan latihan e-dagang, subsidi penjualan dan khidmat sokongan jualan kepada peniaga mikro dan PKS yang layak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 7:20 AM