NOH Omar merasmikan Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Nadi Al Baghdadi. FOTO Juwan Riduan
NOH Omar merasmikan Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Nadi Al Baghdadi. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan menubuhkan jabatan khas bagi menguruskan perniagaan digital sebagai langkah untuk lebih fokus kepada perniagaan dalam talian.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah itu diambil untuk lebih fokus membantu usahawan PUNB meningkatkan pembabitan mereka dalam perniagaan dalam talian.

Menurutnya, tahun ini PUNB akan lebih fokus kepada bidang digital kerana ia perniagaan baharu yang menarik minat terutamanya golongan usahawan muda.

"Rakan usahawan PUNB dan usahawan bumiputera yang mahu menyertai perniagaan digital atau meningkatkan pembabitan dalam bidang ini boleh menghubungi PUNB bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Bagaimanapun, PUNB masih menawarkan pembiayaan kepada usahawan dalam bidang peruncitan, pengedaran dan perdagangan, biarpun ketika ini kami mempunyai fokus baharu," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Nadi Al Baghdadi Kingfisher, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin.

Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Nadi Al Baghdadi Kingfisher milik usahawan wanita PUNB, Farah Fadilah Binti Abdullah@Nora, 46.

Farah Fadilah menerima pembiayaan pertama PUNB pada 2016 sebanyak RM200,000 untuk membuka sebuah pusat jagaan dan asuhan kanak-kanak iaitu Taska Kasih Fitri.

Beliau yang melihat potensi dalam bidang pendidikan, kemudian memohon pembiayaan tambahan PUNB sebanyak RM100,000 pada 2018 untuk membuka Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Nadi Al Baghdadi Kingfisher.

Dalam perkembangan berasingan, Noh berkata, sejak PUNB ditubuhkan sehingga 31 Ogos 2020, sebanyak RM70.95 juta kelulusan pembiayaan perniagaan sudah diberikan kepada 451 usahawan daripada 345 syarikat di seluruh Sabah.

Katanya, pada tahun ini setakat 31 Ogos 2020, sebanyak RM1.15 juta kelulusan pembiayaan sudah diberikan kepada 5 usahawan daripada 3 syarikat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 2:15 PM