Bisnes HM


MEDIA Prima Berhad (Media Prima), mencatatkan penurunan hanya 11 peratus bagi perolehan dalam tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2020 (1HFY20) walaupun terus ditekan cabaran industri yang diburukkan lagi oleh kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi.

Untuk tempoh itu, Media Prima mencatatkan perolehan sebanyak RM474.7 juta berbanding RM535.9 juta setahun yang lalu (1HFY19).

Pelan transformasi Kumpulan yang membabitkan penyemakan model perolehan, telah mempertahankan Kumpulan dari penurunan perolehan yang lebih tinggi.

Transformasi ini juga membabitkan penyusunan semula kos daripada duplikasi kerja yang tidak perlu.

Ini mengakibatkan kerugian selepas cukai (LAT) berkurang sebanyak 10 peratus kepada RM48 juta pada 1HFY20 berbanding kerugian bersih RM53.6 juta setahun yang lalu berikutan penurunan perbelanjaan operasi sebanyak 13 peratus dalam tempoh enam bulan.

Perolehan Kumpulan untuk tempoh tiga bulan yang berakhir pada 30 Jun 2020 (2QFY20) menurun sedikit kepada RM236.3 juta berbanding RM238.4 juta pada suku sebelumnya (1QFY20).

Kerugian Kumpulan berkurang 40 peratus kepada RM18 juta pada 2QFY20 berbanding RM30 juta pada 1QFY20.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, walaupun industri ini banyak dipengaruhi kesan ekonomi dari pandemik Covid-19, platform perdagangan dan digital kendalian Kumpulan mengalami lonjakan trafik kerana lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan khidmat dalam talian.

"Kami yakin kedua-dua segmen ini akan menjadi bidang pertumbuhan yang signifikan bagi Kumpulan.

"Sebagai syarikat media bersepadu terbesar di Malaysia, kami yakin perbelanjaan untuk periklanan akan kembali apabila perniagaan dapat menyesuaikan diri dengan norma baru dan berhubung kembali dengan pengguna," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyaksikan hasil positif selepas pelaksanaan transformasi yang merangkumi penyatuan semua fungsi periklanan untuk segmen perniagaan Penyiaran, Penerbitan dan Penciptaan Kandungan di bawah Media Prima Omnia sejak April 2020.

"Melangkah ke hadapan, Kumpulan akan memperkemas fungsi dan perolehan pemasaran. Aktiviti siaran komersial dan radio dari Rangkaian Televisyen Media Prima dan RIPPLE akan digabungkan di bawah Penyiaran.

"Namun, kami menjangkakan keadaan ekonomi yang sukar akan berterusan dan kami juga akan terus melaksanakan langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan operasi dengan pengurusan kos yang berhemat tanpa mengorbankan kualiti yang ditawarkan," katanya.

Segmen membeli-belah di rumah Media Prima mencatatkan keuntungan bersih separuh pertama dengan ketara sebanyak RM6.3 juta, berbanding kerugian bersih RM7.6 juta setahun yang lalu.

Perolehan CJ Wow Shop dicapai dengan peningkatan 34 peratus kepada RM152.8 juta dalam pendapatan 1HFY20 berbanding RM114.3 juta pada tempoh sama.

Ini termasuk penjualan yang lebih tinggi dari platform e-dagang dan perdagangan mudah alih yang menyumbang lebih dari 52 peratus dari jumlah penjualannya.

Sehingga kini, CJ Wow Shop mempunyai lebih daripada dua juta pelanggan dan menerbitkan lebih dari 100 slot siaran langsung setiap bulan.

Pengerusi Kumpulan, Datuk Syed Hussian Aljunid berkata, peningkatan prestasi CJ Wow Shop menunjukkan kejayaan segmen membeli-belah di rumah yang dibina empat tahun lalu.

"Ketidakpastian yang timbul ketika pandemik Covid-19 adalah masa yang mencabar untuk operasi kami, namun sebagai penyedia perkhidmatan penting ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), ia menjadi peluang untuk merebut peluang perniagaan baharu.

"CJ Wow Shop memperoleh manfaat hasil jumlah tontonan yang lebih tinggi untuk siarannya, di mana telah menarik pelanggan baru dan mencatat jualan lebih besar dari platform e-dagang serta dagangan mudah alih kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 6:01 PM