WINTER bersama Volkswagen Arteon R-Line.
WINTER bersama Volkswagen Arteon R-Line.

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan tiga model baharu ke dalam barisan modelnya untuk pasaran di negara ini.

Pengarah Urusannya, Erik Winter berkata, model itu ialah Arteon dan Tiguan serba baharu serta Passat baharu yang semua daripada varian R-Line dengan ciri berprestasi tinggi dan sporty.

"Model Arteon adalah model sedan serba baharu fastback dengan rekaan yang mengujakan serta ciri eksklusif dilengkapi enjin 2.0TSI turbo.

"Untuk Tiguan Allspace serba baharu kini dengan dua varian enjin iaitu 1.4TSI dan 2.0TSI R-Line yang turut ditawarkan dengan tujuh tempat duduk," katanya pada majlis pelancaran di sini.

Katanya, satu lagi model yang diperkenalkan ialah Passat R-Line baharu dengan kemasan lebih sporty terutama pada bahagian luaran elemen krom dan rim aloi 19 inci Verona.

Ketiga-tiga model ini ditawarkan dengan pilihan ciri premium bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna.

"Pasaran segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) semakin berkembang dengan peningkatan 65 peratus, pengenalan model Tiguan untuk keperluan pembeli yang berbeza adalah tepat pada masanya," katanya.

Untuk pasaran Malaysia, Arteon R-Line dijual pada harga RM220,043, Tiguan Allspace Highline dan Tiguan Allspace R-Line serba baharu masing-masing dijual pada harga RM164,430 dan RM208,553.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 7:20 AM