BARANGAN makanan yang akan disumbangkan kepada golongan kurang mampu di Semenanjung.
BARANGAN makanan yang akan disumbangkan kepada golongan kurang mampu di Semenanjung.

TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd bersama rakan pembekal, Mondelez International dan badan bukan kerajaan (NGO), Food Aid Foundation (Food Aid) mengumpul dana RM200,000 dengan bantuan pelanggan yang mengambil bahagian dalam inisiatif Tabung Kiriman Ikhlas.

Dilancarkan pada Ramadan lalu, Tabung Kiriman Ikhlas adalah inisiatif bersama kedua-dua syarikat itu untuk mengumpul dana untuk pembelian barang makanan bagi membantu golongan kurang mampu.

Ia berlangsung dari 23 April lalu hingga 11 Jun lalu.

Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco, Azliza Azmel dalam satu kenyataan berkata, barang makanan termasuk beras, minyak masak, tuna, biskut krim, bijirin, susu, madu dan campuran minuman segera diedarkan Food Aid kepada golongan kurang mampu di seluruh Semenanjung hingga Julai depan.

"Kami berasa rendah hati dengan kemurahan hati rakyat Malaysia, terutama pada saat ramai terjejas akibat Covid-19.

"Pencapaian sasaran kami RM200,000 melalui Tabung Kiriman Ikhlas adalah benar-benar berkat di bulan Syawal ini," katanya.

Ketua Hal Ehwal Korporat dan Kerajaan Mondelez, Raja Zalina Raja Safran berkata, seiring tujuan Snacking Made Right, amat penting bagi pihaknya melakukan apa sepatutnya dan Mondelez International memberikan sumbangan produk dan kewangan kepada pelbagai organisasi yang menjaga masyarakat tempatan terjejas akibat Covid-19.

Sementara itu, Tesco turut menyumbang makanan dan barang keperluan bernilai lebih RM130,000 untuk menyokong komuniti dan keluarga yang kurang bernasib baik yang kehilangan sumber pendapatan mereka, barisan hadapan seperti pekerja kesihatan dan pihak berkuasa tempatan yang bertugas serta haiwan di zoo dan tempat perlindungan haiwan di seluruh negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 7:10 AM