NIK Fazila
NIK Fazila

CHEMICAL Company of Malaysia Bhd (CCM) menggariskan strategi serampang tiga mata bagi menghadapi impak Covid-19 merangkumi keutamaan perbelanjaan modal, meningkatkan pemantauan keperluan modal kerja dan memastikan ketersediaan tunai serta mudah tunai setiap masa.

Pengarah Urusan Kumpulan, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin berkata, usaha kumpulan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran boleh dilihat dengan peningkatan 50 peratus dalam pengeluaran chlor-alkali, susulan bermulanya operasi kilangnya Pasir Gudang Plant 1 pada lewat Februari tahun ini.

Sementara itu, kilang kalsium nitratnya meningkatkan kapasiti pengeluarannya secara progresif daripada 1,000 tan metrik sebulan kepada 1,900 tan metrik sebulan.

"Selain mengoptimumkan sumber sedia ada, kami juga mengembangkan kapasiti Kleeners, penyelesaian pembersihan bagi pembentuk seramik yang dibekalkan kepada pengeluar sarung tangan.

"Kilang Kleeners kami di Bangi menggandakan pengeluarannya daripada 9,000 tan metrik setahun kepada 18,000 tan metrik setahun sebaik saja ia beroperasi penuh pada suku pertama 2021," katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain itu, CCM akan terus menambah baik operasi, kewangan dan kecekapan kos serta memberi keutamaan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan.

Nik Fazila berkata, satu daripada inisiatif kecekapan kos utama adalah kilang penghasilan bersama bernilai RM27.9 juta yang membolehkan pengeluaran serentak elektrik dan tenaga terma boleh digunakan daripada satu sumber bahan api tunggal, menyokong agenda negara untuk mencapai penjimatan lapan peratus daripada kecekapan tenaga menjelang 2025.

"Selain itu, kami berusaha keras mencari peluang pertumbuhan menerusi pempelbagaian portfolio termasuk derivatif dan aplikasi bukan sarung tangan lain bagi mengukuhkan kedudukan kami di peringkat serantau," katanya.

Menurutnya, CCM akan menyambung semula membekalkan soda kaustik kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) apabila Petronas meneruskan semula operasinya pada penghujung tahun ini berikutan gangguan operasi disebabkan kebakaran di tapak Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokima (Rapid) pada April tahun lalu.

Pada Mei tahun lalu, CCM memperoleh kontrak tiga tahun dengan pilihan lanjutan setahun daripada Petronas untuk membekalkan soda kaustik kepada Petronas Refinery and Petrochemicals Corporation Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 7:10 AM