PAS perjalanan boleh digunakan bermula dari 25 Jun hingga 31 Mac 2021. FOTO Saifullizan Tamadi
PAS perjalanan boleh digunakan bermula dari 25 Jun hingga 31 Mac 2021. FOTO Saifullizan Tamadi
Syarifah Dayana Syed Bakri


AIRASIA melancarkan pas tanpa had baharu untuk merancakkan kembali pelancongan domestik negara susulan kebenaran bagi perjalanan domestik di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pas tanpa had AirAsia Cuti-Cuti Malaysia yang berharga RM399 bersih tersedia untuk semua Ahli AirAsia BIG di Malaysia untuk pembelian di airasia.com/deals atau aplikasi mudah alih AirAsia (di bawah pautan Deals) mulai 11 hingga 13 Jun 2020.

"Beli sekarang dan buatlah perjalanan pada bila-bila masa bermula 25 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, tawaran itu membabitkan 16 destinasi menarik di Malaysia iaitu Alor Setar, Langkawi, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan.

"Kami menyambut baik pembukaan semula perjalanan domestik menerusi pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan baru-baru ini dengan insentif seperti pelepasan cukai pendapatan RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga Disember 2021," katanya.

Untuk mendapatkan pas berkenaan, pelanggan perlu mengunjungi laman rasmi atau aplikasi mudah alih AirAsia pada bahagian Deals.

Pas berkenaan boleh digunakan tanpa had selama setahun apabila pelanggan hanya perlu membayar cukai dengan tiada sebarang caj dikenakan ke atas harga tiket.

Sebagai contoh, tiket penerbangan ke Langkawi biasanya dikenakan pada harga RM100, iaitu RM80 harga tiket dan RM20 (cukai), dengan menggunakan pas ini, pelanggan perlu membayar RM20 sahaja.

Sementara itu, bagi mencapai objektif itu, katanya AirAsia berharap dapat bekerjasama dengan semua pihak dalam industri pelancongan daripada pengusaha hotel sehingga ejen pelancongan.

"Bagi AirAsia, pas tanpa had ini tawaran utama kami kepada pelanggan untuk menebus penerbangan tanpa had dalam rangkaian domestik kami ke 16 destinasi.

"Dengan melakukan perjalanan domestik, kita bukan saja dapat menyokong masyarakat setempat, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Ketika melakukan perjalanan, kami meminta kerjasama penumpang mengamalkan kebersihan diri yang tinggi dan memakai pelitup muka," katanya.

Menurutnya, penerbangan ditebus dengan pas tanpa had itu tertakluk kepada cukai dan yuran kerajaan, perkhidmatan tambahan dan caj lain yang berkenaan manakala tempahan penerbangan mesti dibuat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum waktu perlepasan serta ada tempoh embargo dan terma dan syarat lain dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 7:20 AM